PENJELASAN:
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperjelaskan laporan bahawa terdapat warga Australia yang telah meninggal dan jatuh sakit akibat memakan buah rockmelon yang telah dicemari oleh bakteria Listeria monocytogenes, sepertimana yang dilaporkan media.
Menurut KKM, pihak mereka melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan bekerjasama dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia berkaitan isu ini. Menurut pihak berkuasa Australia, isu ini hanya melibatkan pencemaran listeria dalam buah rockmelon dari satu ladang di Nericon, New South Wales, Australia. Ladang berkenaan secara sukarela telah menghentikan pengeluarannya pada 23 Februari 2018. Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia juga telah mengesahkan bahawa pengeksportan rockmelon selepas 1 Mac 2018 adalah selamat dan tidak terlibat dengan isu ini.
KKM telah mengenalpasti pengimport yang mengimport rockmelon dari ladang terbabit sebelum 1 Mac 2018 dan menyita rockmelon yang terdapat di premis pengimport. Produk tersebut hanya akan dilepas sitaan sekiranya hasil analisis mendapati produk tersebut tidak tercemar dengan bakteria Listeria monocytogenes. Di samping itu, pengimport berkaitan sedang memanggil balik (recall) secara sukarela rockmelon tersebut dari pasaran.
Sehingga kini, tiada kes listeriosis di laporkan berlaku di Malaysia kerana memakan rockmelon.
SUMBER:
Laman Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia