Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah Kumpul Data Untuk Projek ‘IC’?

TULAR:
1619

PENJELASAN

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah memperjelaskan dakwaan bahawa KPLB sedang membantu mengumpul data untuk pemberian ‘Projek IC’ (Kad Pengenalan).

Sumber gambar: Facebook

Menurut kenyataan rasmi dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah:

1. Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah mengambil maklum penularan surat daripada Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah bertarikh 9 Ogos 2018 (KPLB: 100-10/149 ( )).

2. Surat tersebut bertujuan untuk mendapatkan maklumat senarai kampung yang jauh dari pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di setiap daerah di seluruh Sabah.

3. Surat tersebut dikeluarkan bagi mendapat maklumat jarak dan kedudukan kampung-kampung tersebut sebagai langkah awal ke arah usaha untuk menangani masalah daftar lewat kelahiran baru dan kematian yang tidak dilaporkan kerana faktor jarak antara kampung dengan Pejabat JPN Daerah.

4. Masalah daftar lewat kelahiran baru termasuk kematian masih lagi menjadi masalah yang besar di Sabah dan Sarawak. Menteri Dalam Negeri telah mengarahkan satu langkah baharu untuk menangani masalah ini.

5. Justeru, surat tersebut dikeluarkan berasaskan kepada Seksyen 21, Ordinan Kelahiran dan Kematian Sabah Cap 123, 1951 yang memberi kuasa kepada Ketua Kampung menjadi “Pelapor Kelahiran dan Kematian” di kampung masing-masing kepada Pejabat JPN Daerah dalam tempoh 42 hari selepas tarikh kelahiran/kematian.

6. Borang pelaporan serta Standard Operating Procedure (SOP) akan disediakan oleh JPN, termasuk proses verifikasi kepada setiap laporan yang dibuat oleh Ketua Kampung tersebut.

7. Berdasarkan kepada Program Kaunter Bergerak dan Mobile Court sebelum ini, didapati bahawa daftar lewat kelahiran banyak berpunca daripada ketidakmampuan keluarga menguruskan setiap rekod kelahiran/kematian akibat kos perbelanjaan kerana jarak kampung yang jauh dan masalah pendaftaran perkahwinan yang tidak terurus dan ada yang tidak didaftarkan di kalangan penduduk asal Sabah sendiri. Pendaftaran lewat ini akan mencetuskan masalah yang lebih besar apabila anak-anak memasuki persekolahan.

8. JPN terus komited untuk menyelesaikan masalah daftar lewat kelahiran / kematian termasuklah melalui pendekatan kaunter bergerak atau program bersepadu dengan agensi Kerajaan lain seperti Mobile Court yang dilaksanakan sebelum ini. Justeru maklumat kampung sepertimana yang diperlukan dalam surat tersebut adalah sangat berkaitan.

9. Daftar kelahiran dan kematian adalah sangat penting dalam perangkaan negara. KPLB Sabah mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah ini walaupun sekadar membekalkan maklumat kampung dan jarak kepada pihak JPN supaya usaha yang lebih bersepadu dapat dibuat.

10. Setakat 29 Ogos 2018, lima pejabat daerah dan pejabat daerah kecil telah membekalkan maklumat tersebut, iaitu Kota Marudu, Beluran, Keningau, Sipitang dan Kemabong. Antara kampung yang paling jauh dari pejabat JPN Daerah ialah Kg Melalin, Pulau Jambongan dengan jarak 115 kilometer, Kg Long Pasia, Sipitang 113 kilometer, Kg Long Mio, Sipitang 106 kilometer, Kg Sonsogon Mogis, Kota Marudu 93 kilometer dan Kg Tagibang, Kota Marudu 90 kilometer.

11. Pengarah JPN Sabah, Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah telah memberikan penjelasan kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah pada 29 Ogos 2018 berkaitan salah anggap terhadap surat tersebut yang tular di media sosial.

SUMBER :

Facebook Menteri Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah

Berita Harian


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI