PENJELASAN:
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperjelaskan laporan bahawa kes kematian bayi selepas menjalani kelahiran tidak selamat di Johor adalah disebabkan khidmat ‘Doula’ sepertimana yang hangat diperkatakan di media sosial.
Dalam kenyataannya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum penularan di media sosial, pandangan yang diutarakan oleh NGO perubatan serta laporan di media cetak/elektronik tempatan mengenai kes kematian seorang bayi selepas menjalani kelahiran tidak selamat (unsafe delivery) di Johor Bahru.
Seperti diketahui umum, KKM ingin mengesahkan bahawa bayi tersebut telah meninggal dunia akibat sesak nafas (asphyxia) setelah kepala bayi tersangkut di perineum ibu semasa melalui kelahiran songsang (breech delivery, footling presentation) di rumah pada 4 Februari 2018. Kelahiran bayi tersebut telah disambut oleh individu yang bukan merupakan anggota kesihatan dan tidak bertauliah untuk mengendalikan kelahiran bayi.
KKM sememangnya memandang serius dan amat kesal dengan kejadian kematian bayi ini, terutamanya kerana ianya merupakan kes yang boleh dielakkan (avoidable infant mortality).
SUMBER:
Laman Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia