PENJELASAN:
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperjelaskan dakwaan bahawa kopi pracampuran berperisa durian yang dicampur dadah sehingga menyebabkan gejala letih teruk telah merebak ke negeri lain, sebelum pertama kali ditemui di Pulau Pinang.
Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang berkata pihaknya percaya kopi sedemikian belum tersebar ke negeri lain, dan setakat ini polis tidak menerima kes seumpama itu dan percaya sindiket yang mencampurkan dadah ke dalam kopi pracampuran itu tidak sempat memasarkannya.
“Melalui siasatan awal polis, kopi dicampur dadah ini dipercayai untuk dijual di pusat hiburan, sama seperti kes-kes minuman yang dicampur dadah yang lain, bagaimanapun atas sebab yang tidak diketahui kopi ini telah dibuang ke kawasan pembuangan sampah di Taman Ria, Air Itam Pulau Pinang sebelum ditemui oleh orang awam.”
“Mungkin orang awam yang melihat kopi itu adalah ‘brand’ mahal, kopi itu telah diambil dan dibawa pulang sebelum diberikan kepada rakan-rakan yang lain tanpa diketahui isi kandungannya.”