Makluman: Kit Ujian Influenza di Pasaran Hanya untuk Kegunaan Professional Kesihatan

TULAR:
155

Menurut kenyataan Medical Device Authority (MDA):

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) ingin memaklumkan kepada orang awam bahawa kit ujian influenza yang berada di pasaran dikategorikan sebagai In Vitro Diagnostic (IVD) Medical Device untuk kegunaan profesional kesihatan sahaja. Ini bermaksud, kit ujian influenza tidak bertujuan untuk digunakan sendiri (self-testing) oleh orang awam, sebaliknya hanya boleh dijalankan oleh profesional kesihatan terlatih di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta yang berlesen.

Penggunaan kit ujian influenza tanpa bimbingan profesional boleh mengakibatkan keputusan ujian yang tidak tepat, seterusnya membawa kepada salah tafsir terhadap status kesihatan serta risiko rawatan yang tidak sesuai. Orang awam yang mengalami simptom seperti demam, batuk, sakit tekak atau jangkitan saluran pernafasan adalah dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta yang berlesen bagi penilaian dan ujian yang sewajarnya.

Semua fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta hendaklah memastikan bekalan kit ujian influenza diperoleh daripada pengilang, wakil yang diberi kuasa, pengimport atau pengedar yang berlesen, dan kit ujian influenza tersebut telah berdaftar dengan MDA.

MDA juga ingin menegaskan bahawa pembelian kit ujian influenza oleh fasiliti kesihatan, farmasi, atau orang awam daripada mana-mana platform e-dagang adalah tidak dibenarkan.

Selain itu, MDA mengingatkan sebarang peranti perubatan yang dikategorikan untuk kegunaan profesional kesihatan sahaja tidak boleh diiklankan atau dipromosikan kepada orang awam dalam apa jua bentuk paparan atau bahan pemasaran yang boleh diakses oleh umum. Pengiklanan tanpa kelulusan daripada MDA adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 44 Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) dan Peraturan-Peraturan Peranti Perubatan (Iklan) 2019.

MDA menegaskan bahawa pengedaran atau penjualan kit ujian influenza yang tidak berdaftar dengan MDA merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 5(1) Akta 737, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

SUMBER:
Facebook Rasmi MDA

Instagram Rasmi MDA


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI