Pelarasan Tarif Elektrik Di Semenanjung, Sabah Dan Wilayah Persekutuan Labuan Bermula 1 Julai 2018?

TULAR:
555

PENJELASAN:

Suruhanjaya Tenaga (ST) memperincikan pelarasan tarif elektrik di Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi melepaskan kos takberimbang dalam tempoh 1 Julai sehingga 31 Disember 2018.

Sumber gambar: Facebook.

Menurut kenyataan rasmi Suruhanjaya Tenaga (ST):

Kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan kerangka kerja kawal selia berasaskan Insentif (Incentive-Based Regulation Framework – IBR) bagi penetapan dan pelarasan tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tempoh kawal selia tiga tahun yang ke-2 bermula pada tahun 2018 hingga 2020.

Di bawah IBR, tarif elektrik mempunyai dua komponen utama, iaitu tarif asas yang tidak berubah dalam tempoh kawal selia IBR dan Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) dalam bentuk rebat atau pun surcaj dalam tarif pengguna yang dilaksanakan pada setiap 6 bulan. ICPT adalah untuk melepaskan apa-apa kos tak berimbang (imbalance cost), iaitu perbezaan di antara kos sebenar bahan api serta kos lain penjanaan yang didapati munasabah dan diluar kawalan TNB dengan kos unjuran yang diguna pakai dalam penetapan tarif asas bagi tempoh 6 bulan sebelumnya.

Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun 2018, didapati bahawa harga bahan api arang batu telah meningkat kepada USD91.66/se tan metrik berbanding harga yang diunjurkan dalam tarif asas, iaitu USD75/se tan metrik. Kenaikan bagi tempoh enam bulan pertama 2018 ini merupakan faktor utama yang menyebabkan kos penjanaan sebenar meningkat sebanyak RM698.19 juta bersamaan 1.35 sen/kWj.

Sehubungan itu, Kerajaan telah memutuskan supaya peningkatan kos sebanyak 1.35 sen/kWj tersebut dilepaskan dalam bentuk surcaj ICPT kepada semua pengguna bukan domestik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 1 Julai 2018 hingga 31 Disember 2018. Kerajaan juga telah menetapkan supaya surcaj ICPT tersebut dikecualikan kepada semua pengguna domestik bagi tempoh yang sama.

Dalam pada itu, rebat tarif elektrik sebanyak 1.52 sen/kWj yang telah diberikan kepada semua pengguna di Semenanjung dalam tempoh 6 bulan terdahulu akan ditamatkan berkuatkuasa 1 Julai 2018.

Selaras dengan itu, rebat tarif elektrik sebanyak 1.20 sen/kWj yang telah diberikan dalam tempoh terdahulu bagi pengguna elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan turut ditamatkan berkuatkuasa pada 1 Julai 2018. Kerajaan juga telah memutuskan supaya pelaksanaan IBR di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan yang sepatutnya bermula pada 1 Julai 2018 ditangguhkan sehingga 1 Januari 2019.

Pelarasan ICPT ini tidak melibatkan pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 300 kWj.

Bagi pengguna domestik dengan penggunaan elektrik melebihi 300 kWj, mereka akan mengalami penurunan atau kenaikan yang minimum dalam bil elektrik iaitu dianggarkan di antara RM0.09 hingga RM4.89 sebulan dengan mengambil kira pelaksanaan kadar 0.0 peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang telah bermula pada 1 Jun 2018.

SUMBER:

Laman Rasmi Suruhanjaya Tenaga

Kosmo

Utusan Malaysia


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI