Pengendalian Pesakit Secara Tidak Wajar Oleh Hospital Kepala Batas?

TULAR:
1384

PENJELASAN :

Jabatan Kesihatan Pulau Pinang memperjelaskan dakwaan bahawa pihak Hospital Kepala Batas telah melayani seorang pesakit yang datang ke wad kecemasan pada 10 Julai 2018 secara tidak wajar.

Sumber gambar: Facebook.

Menurut kenyataan dari Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang :

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) ingin merujuk kepada kenyataan yang dimuat naik oleh pemilik akaun di bawah nama ‘Intan lzwanee’ ke dalam laman Facebook “Penangkini” dan Komuniti Kepala Batas bertarikh 10 Julai 2018 mengenai ketidakpuasan hati terhadap rawatan pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kepala Batas. Untuk makluman semua, JKNPP telah dengan segera mengarahkan siasatan dilaksanakan mengenai isu yang dibangkitkan.

Hasil siasatan mendapati pada 9 Julai 2018 pada jam 7.55 malam, Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kepala Batas telah menerima satu panggilan kecemasan dari pusat Medical Emergency Call Centre (MECC) mengenai insiden kemalangan di Jalan Permatang Buloh Kepala Batas. Ambulan dari Hospital Kepala Batas telah bertolak ke lokasi kejadian pada jam 8.00 malam dan tiba di lokasi pada jam 8.15 malam. Ambulan yang membawa pesakit telah tiba di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kepala Batas pada jam 8.35 malam bagi rawatan selanjutnya. Pesakit diturunkan dari ambulan dengan bantuan kerusi roda dan ditolak masuk oleh kakitangan hospital ke dalam Bilik Rawatan untuk menerima rawatan awal. Pesakit di triage sebagai kes Hijau (kes bukan kritikal). Rawatan awal yang diberikan kepada pesakit adalah suntikan Anti Tetanus (pencegahan kancing gigi) dan pencucian luka.

Mengenai dakwaan bahawa tiada rawatan diberikan kepada pesakit semasa berada di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kepala Batas, perkara ini adalah disangkal sama sekali. Setelah selesai rawatan awal diberikan, paramedik menolak pesakit ke kaunter pendaftaran bagi urusan pendaftaran pada jam 8.46 malam dan pada ketika itu waris pesakit telah hadir. Pesakit seterusnya telah diserahkan kepada dua orang waris tersebut di hadapan kaunter pendaftaran memandangkan keadaan pesakit stabil. Oleh yang demikian dakwaan bahawa pesakit ditinggalkan selama 2 jam setengah tanpa ditemani oleh waris adalah tidak benar sama sekali.

Pada jam 9.35 malam, pesakit telah ditolak masuk oleh waris untuk berjumpa Pegawai Perubatan bagi sesi konsultasi. Arahan untuk melakukan pemeriksaan X-ray telah diberikan dan pesakit telah ditolak oleh waris ke Unit Radiologi. Pada jam 10.06 malam, X-ray ke atas pesakit telah dilakukan. Selesai proses di Unit Radiologi, pesakit dan waris telah menyerahkan filem X-ray ke dalam Bilik 1, Zon Hijau pada jam 10.37 malam. Pesakit seterusnya berjumpa Pegawai Perubatan yang sama di Zon Hijau pada jam 10.43 malam. Pegawai Perubatan memaklumkan dada sebarang kepatahan yang berlaku hasil daripada pemeriksaan X-ray tersebut. Penerangan telah diberikan kepada pesakit dan waris yang menemani mengenai perkara tersebut. Pesakit telah dibenarkan pulang dan dibekalkan ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit, ubat antibiotik, ubat cuci luka dan ubat kurang bengkak bersertakan sijil cuti sakit selama lima hari.

Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang amat berharap penularan berita yang tidak tepat seperti yang ditularkan dapat dihentikan. JKNPP serta semua kakitangan amat komited dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat. Sekiranya terdapat isu mengenai perkara tersebut, orang awam digalakkan untuk berhubung terus bersama pihak pentadbiran hospital atau JKNPP sendiri bagi sebarang maklum balas.

SUMBER:

Jabatan Kesihatan Pulau Pinang


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI