Projek LRT3 Diteruskan?

TULAR:
908

PENJELASAN:

Kementerian Kewangan memperjelaskan laporan bahawa projek Light Rail Transit 3 (LRT3) diteruskan dengan pengurangan kos projek sebanyak 47% daripada RM31.65 Bilion kepada RM16.63 Bilion.

Sumber gambar: Facebook

Menurut kenyataan rasmi dari Kementerian Kewangan:

Pada 30 Mac 2018, Prasarana Malaysia Bhd telah mengemukakan kos projek LRT3 yang berjumlah RM31.65 bilion. Pada masa yang sama, selain daripada pembiayaan dalam bentuk jaminan kerajaan yang bernilai RM10 bilion yang telah diluluskan pada tahun 2015, Prasarana cuba memohon pembiayaan kewangan tambahan sebanyak RM22 bilion, juga dalam bentuk jaminan kerajaan.

Semalam (11 Julai 2018), Mesyuarat Kabinet telah meluluskan penerusan projek LRT3 dengan kos akhir yang berjumlah RM16.63 bilion. Jumlah kos tersebut adalah 47% lebih rendah berbanding kos asal yang bernilai RM31.65 bilion; sekaligus dapat menjimatkan RM15.02 bilion wang rakyat Malaysia. Kos keseluruhan ini termasuk tetapi tidak terhad kepada kos Pakej Kontrak Kerja (WPC), kos pengambilan tanah, kos pengurusan projek, fi perundingan, kos operasi, kos overhead, faedah pinjaman semasa pembinaan (IDC) dan kos-kos lain yang berkaitan.

Projek Light Rail Transit 3 (LRT3) sepanjang 37km ini merupakan projek yang amat kritikal bagi mengatasi isu kesesakan lalu lintas, khususnya di dalam arus pembangunan ekonomi yang begitu pesat dan kepadatan penduduk yang tinggi di sekitar kawasan Lembah Klang. Jajaran LRT3 adalah amat penting kerana ia menawarkan perkhidmatan LRT bagi kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 2 juta orang di sepanjang koridor jajaran dan dapat menampung kapasiti seramai 36,700 penumpang sejam sehala.

Proses perundingan semula yang menyeluruh dan pelan rasionalisasi pelaksanaan projek LRT3 telah diadakan dengan semua pihak yang terlibat termasuk Prasarana, MRCB-George Kent (MRCB-GK JV), iaitu Rakan Pelaksana Projek (PDP) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Satu aspek kritikal dalam pengkajian semula projek ini adalah integrasi jajaran LRT3 sepanjang 37km; dari Johan Setia (Klang) ke Bandar Utama (Petaling Jaya) perlulah dikekalkan. Di samping itu, isu keselamatan, kekerapan jadual perjalanan dan kualiti perkhidmatan mestilah memenuhi segala syarat keperluan pengawal selia.

Antara langkah utama yang diambil untuk mengurangkan dan merasionalisasi kos projek ini termasuk:

(i) Mengurangkan jumlah tempahan daripada 42 set kereta api 6-koc kepada 22 set kereta api 3-koc. Berdasarkan kajian perlaksanaan projek LRT3, 22 set kereta api 3-koc ini sudah memadai untuk menampung jumlah penumpang yang dijangkakan menggunakan perkhidmatan ini sehingga tahun 2035, sebelum sebarang penambahan jumlah set keretapi 3-koc dilaksanakan.

(ii) Mengurangkan saiz pembinaan pangkalan kereta api LRT berikutan bilangan kereta api LRT yang dikurangkan.

(iii) Mengubahsuai saiz dan reka bentuk stesen-stesen LRT mengikut piaiwaian jajaran LRT Kelana Jaya dan bukannya mengikut saiz stesen MRT yang lebih besar.

(iv) Menangguhkan pembinaan lima stesen yang dijangkakan mempunyai jumlah ]enumpang yang rendah, sehingga terdapat keperluan untuk membina stesen-stesen tersebut. Pembinaan stesen-stesen yang akan dibatalkan adalah Lien Hoe, Temasya, SIRIM, Bukit Raja dan Bandar Botanic.

(v) Membatalkan pembinaan terowong sepanjang 2km untuk laluan LRT dan stesen LRT bawah tanah di Persiaran Hishamuddin, Shah Alam.

(vi) Melanjutkan garis masa untuk menyiapkan projek LRT3 dari tahun 2020 ke 2024 untuk mengurangkan lagi kos pembinaan yang asalnya dinaikkan untuk
mempercepatkan tempoh siap projek tersebut.

Di samping itu, pembinaan projek LRT3 akan distruktur semula daripada model PDP kepada model “kontrak harga tetap” dengan MRCB-GK JV. Ini akan memastikan bahawa harga akan terikat kepada harga yang ditetapkan.

Penjimatan bernilai RM15 bilion bukan sahaja penting dalam konteks pengurangan hutang negara, malah ia juga bakal memberi penjimatan tambahan bernilai RM14 bilion khususnya dalam kos faedah sepanjang tempoh pembiayaan pinjaman kewangan.

Pengurangan kos sebanyak 47% ini membuktikan kemampuan Kerajaan Persekutuan dalam usaha mendapatkan penjimatan kos yang begitu signifikan bagi projek yang harga asalnya telah melambung tinggi akibat daripada kelemahan tadbir urus kerajaan terdahulu.

SUMBER:

Facebook Kementerian Kewangan

Astro Awani

Berita Harian


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI