Sebarang Pembatalan Ordinan Darurat Ketika Darurat Tidak Akan Menjejaskan Akta 342

TULAR:
2643

Menurut kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):

Maklum balas berikut adalah berkaitan kekeliruan antara Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No. 2) 2021 [P.U (A) 313/2021] (selepas ini dikenali sebagai “Perintah”) dengan Proklamasi Darurat [P.U (A) 7/2021](selepas ini dikenali sebagai “Proklamasi”).

Perintah ini dibuat di bawah subseksyen 11(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] yang memberi kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan tempatan jangkitan. Perintah ini bertujuan untuk melanjutkan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan yang pada awalnya mula berkuat kuasa pada 18 Mac 2020, dan telah dilanjutkan bagi tempoh 2 Ogos sehingga 31 Disember 2021.

Sebelum ini, kuat kuasa perintah ini dilanjutkan bagi tempoh 1 April 2021 hingga 1 Ogos 2021. Perintah ini telah menetapkan bahawa semua Negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan.

Dengan berkuat kuasanya Perintah ini, pelaksanaan undang-undang boleh diambil melalui arahan pegawai diberi kuasa untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit. Selain itu, Perintah ini juga berkuat kuasa bersama dengan peraturan-peraturan yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) untuk membolehkan Kerajaan menguatkuasakan, antaranya, Arahan Ketua Pengarah dan Peraturan-Peraturan mengenai Pelan Pemulihan Negara.

Manakala Proklamasi Darurat pula dibuat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan suatu darurat besar sedang berlaku di seluruh Malaysia mulai 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021. Sebarang pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat ketika darurat tidak akan menjejaskan perjalanan Akta 342 yang sedia ada untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

SUMBER:

Twitter Rasmi KKM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI