PENJELASAN:
Tular di media sosial iklan mengenai dakwaan produk herba dengan tuntutan untuk memulih dan mencegah demam Denggi.
Menurut kenyataan rasmi Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah:
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima aduan mengenai produk herba yang diiklankan melalui media sosial dengan tuntutan untuk memulih dan mencegah demam Denggi.
KKM melalui Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) tidak pernah meluluskan sebarang produk herba dengan tuntutan untuk memulih dan mencegah demam Denggi, Zika atau Chikungunya.
KKM juga ingin menegaskan bahawa semua pengiklanan bagi produk yang berdaftar dengan PBKD perlu mendapat kelulusan Lembaga Iklan Ubat (LIU), KKM sebelum disiarkan kepada orang awam.
KKM ingin mengingatkan orang awam agar tidak mudah percaya dengan tuntutan meragukan yang dibuat pada sebarang produk. Sebarang maklumat berkenaan produk ubat yang meragukan boleh disalurkan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia melalui pautan https://www.npra.gov.my/index.php/public-enquiry-complaints/contact-us atau menelefon talian 03-7883 5400 atau emel [email protected].