SEBENARNYA:
Laporan mengenai dakwaan kononnya berlaku jangkitan Covid-19 yang membabitkan varian Afrika Selatan di sekitar Palong, Jempol adalah tidak benar.
Menurut Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berita yang tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp tersebut hanyalah rekaan semata-mata.
Katanya, sehingga kini, tiada lagi laporan mengenai varian Afrika Selatan di Jempol, malah kes kematian yang berlaku pada Sabtu adalah disebabkan jangkitan Covid-19 biasa.
“Dimaklumkan pada Sabtu terdapat satu kes kematian Covid-19 melibatkan wanita Melayu, suri rumah, berusia 62 tahun dari Palong 5.
“Kes dirawat di Hospital Jempol sebagai Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI), keputusan PCR Covid-19 adalah positif.
“Seramai lima kontak telah dikesan dan keputusan saringan masih belum diterima, dan Pejabat Kesihatan Daerah tidak menerima laporan mengenai varian Afrika.”
Tambahnya, tiada sebarang penutupan jalan keluar masuk di sekitar Palong 4, 5 dan 6, seperti yang tular.