Waspada Produk Kingu Ginseng Candy Mengandungi Tadalafil

TULAR:
358

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM):

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan media massa mengenai nasihat yang dikeluarkan oleh Agensi Makanan Singapura (SFA) terhadap pembelian gula-gula ginseng dari Malaysia iaitu “Kingu Ginseng Candy” yang dikesan mengandungi tadalafil.

KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) telah menjalankan siasatan dan saringan awal mendapati produk ini dijual secara dalam talian di platform Lazada.

Hasil siasatan juga mendapati label produk tersebut tidak mematuhi kehendak-kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tiada nama dan alamat pengilang / pembungkus / pengedar / empunya hak untuk mengilang / pengimport. Sehubungan itu, pihak Lazada telah diarahkan untuk memadam kandungan iklan dan penjualan produk tersebut serta merta.

Tadalafil adalah sejenis ubat yang digunakan untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk. Ubat-ubat yang mengandungi tadalafil hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi dengan preskripsi doktor.

Penggunaan tadalafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan
kesihatan serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

SUMBER:

X Rasmi KKM

Facebook Rasmi KKM

Instagram Rasmi KKM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI