Hospital Sultanah Aminah (HSA) Minta Wang Pendahuluan Sebelum Rawat Warga Singapura?

TULAR:

PENJELASAN :

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperjelaskan laporan kononnya seorang warga Singapura yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Johor Bahru telah meninggal dunia kerana pihak Hospital Sultanah Aminah (HSA) enggan memberikan rawatan sebelum menerima wang pendahuluan sepertimana yang tular di media sosial.

Sumber gambar: Kementerian Kesihatan.

KKM jelaskan bahawa tiada kelewatan atau desakan bayaran pendahuluan oleh Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi pesakit yang dimaksudkan.

Keadaan pesakit didapati kritikal dan setibanya di Jabatan Kecemasan HSA, beliau telah dikejarkan ke Zon Merah di mana rawatan kecemasan yang telah sebelum itu dimulakan oleh petugas ambulan adalah diteruskan mengikut protokol Advanced Trauma Life Support (ATLS).

Pasukan Jabatan Kecemasan telah melaksanakan tugasan dengan professional dan pantas, termasuk menjalankan ujian yang diperlukan (Imbasan X-ray, imbasan CT otak, tengkuk dan dada), rawatan (termasuk bantuan pernafasan) dan rujukan kepada pasukan pakar yang berkaitan. Memandangkan ini adalah kes kecemasan, rawatan dan ujian tersebut telah dijalankan tanpa memohon sebarang bayaran atau deposit terlebih dahulu. Ini adalah selaras dengan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KKM bertarikh 4 Mac 2015 berkaitan Garis Panduan pengurusan kutipan hasil bagi pesakit warga asing yang tidak membayar deposit semasa mendapatkan rawatan di hospital Kerajaan.

Memandangkan beliau telah mengalami kecederaan otak, pesakit telah dirujuk kepada pasukan Pembedahan Neuro di mana pembedahan kecemasan telah dirancang (decompressive craniectomy plus removal of clot and intracranial pressure monitoring), tanpa sebarang permintaan untuk bayaran deposit. Hanya setelah keluarga pesakit tiba di HSA, mereka telah dipohon membuat bayaran deposit iaitu sama seperti protokol pengurusan kutipan hasil bagi pesakit warga asing.

Dalam perkara berkaitan, Kementerian Kesihatan akan menghantar surat rasmi kepada kerajaan Singapura bagi menyatakan rasa tidak puas hati berhubung penyiaran berita tanpa fakta sebenar mengenai perkhidmatan kesihatan dan warga perubatan negara ini oleh sebuah portal berita di republik itu.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, surat itu akan dihantar dalam masa terdekat selepas pihaknya berbincang dengan bahagian perundangan kementerian dan Kementerian Luar.

SUMBER :

Ketua Pengarah Kesihatan

Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

Bernama (1)

Bernama (2)

Astro Awani

MStar

Utusan Malaysia

The Star