Beras Cap Rambutan Dicampur Plastik?

TULAR:
3687

PALSU :

Tular di media sosial beberapa klip video berkaitan dakwaan kandungan beras plastik dalam kampit beras jenama Cap Rambutan Super Special Tempatan 5%.

Sumber gambar : Facebook


SEBENARNYA :

Cawangan Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menjalankan pemeriksaan di kilang pemprosesan dan pembungkusan beras jenama tersebut pada 18 Jun 2017 di Mergong, Alor Setar, Kedah. Pemeriksaan dijalankan termasuk mengenalpasti punca utama beras dan meneliti keseluruhan proses pembungkusan beras tersebut.

Hasil pemeriksaan dan siasatan mendapati syarikat tersebut memperolehi bekalan beras dari sumber sah iaitu dari petani dan pengilang tempatan. Pemeriksaan juga mendapati tidak terdapat kelengkapan mesin untuk menghasilkan beras plastik di premis tersebut.

Beberapa siri ujian juga telah dijalankan seperti ujian ketahanan beras, ujian iodin bagi menguji kandungan kanji serta ujian bakar dan masak. Berdasarkan keputusan awal, tiada bendasing plastik dijumpai dalam beras tersebut. Seterusnya, sampel beras juga telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis lanjut. Siasatan dan pemeriksaan yang sama akan dijalankan ke atas kilang pengeluar beras tersebut di negeri lain.

Kemaskini :

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras, Shamsuddin Ismail berkata, analisa Jabatan Kimia terhadap sampel beras jenama Rambutan yang diambil di sebuah kilang pemprosesan dan pembungkusan beras di Alor Setar mendapati ia tulen dan tiada kandungan plastik.

Shamsuddin juga berkata, sampel-sampel beras turut diambil dari beberapa lokasi lain termasuk kilang di Perak dan Pahang serta pasar raya di Selangor turut dihantar ke Jabatan Kimia.

SUMBER :

Facebook Cawangan Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani

Berita Harian


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI