Kopi Dicampur Bahan Peluntur Bukti Keberkesanannya Sebagai Anti Racun Dan Penyakit?

TULAR:
541

PENJELASAN :

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperjelaskan dakwaan bahawa terdapat kopi pracampur anti racun dan boleh mengubati pelbagai penyakit, dengan bahan peluntur dicampur ke dalam kopi pracampur sebelum diminum sebagai bukti keberkesanan produk kopi tersebut, sepertimana yang hangat diperkatakan.

Sumber gambar: Facebook.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merujuk kepada isu yang tular dalam media sosial berhubung kopi pracampur Green 35 yang didakwa anti racun dan boleh mengubati pelbagai penyakit, yang mana ini kononnya dibuktikan melalui demonstrasi dengan mencampurkan bahan peluntur ke dalam kopi pracampur sebelum diminum sebagai bukti keberkesanan produk kopi tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat juga laporan yang mengatakan individu yang meminum kopi pracampur Green 35  semasa sesi demontrasi sebegini telah mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke hospital selepas beberapa jam meminum kopi berkenaan yang dicampur cecair peluntur.

KKM memandang serius isu ini dan melarang pengusaha makanan  dan mana-mana orang lain membuat pemasaran dengan menggunakan bahan yang merbahaya seperti bahan peluntur, racun dan seumpamanya dalam demonstrasi produk makanan. Mereka yang didapati mengiklankan produk makanan bagi tujuan jualan untuk memperdaya pembeli boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 17, Akta Makanan 1983.

KKM juga mendapati maklumat pengilang yang dinyatakan pada label produk tersebut adalah palsu di samping tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta menyalahgunakan logo sistem jaminan keselamatan makanan yang dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 16, Akta Makanan 1983. Tindakan penguatkuasaan sedang diambil ke atas pihak terbabit.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Pengguna dinasihatkan tidak meminum apa-apa bahan yang boleh memudaratkan kesihatan. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

 

SUMBER :

Ketua Pengarah Kesihatan


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI