Makluman: Permulaan Monsun Barat Daya Bermula 14 Mei 2026 Hingga September

TULAR:
4

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET):

Musim Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 14 Mei 2026 dan akan berterusan sehingga September 2026 berikutan keadaan angin yang diramal mula bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara. Sepanjang musim ini, kadar kelembapan udara lazimnnya adalah rendah menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat. Sehubungan itu, negara akan menerima jumlah hujan yang lebih rendah berbanding tempoh lain dengan bilangan hari tanpa hujan adalah lebih banyak berbanding bilangan hari hujan.


Walau bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah, terutamanya pada awal pagi berikutan kehadiran fenomena garis badai (squall line). la merupakan barisan ribut petir yang terbentuk di perairan Selat Melaka dan timur Laut Cina Selatan sebelum bergerak ke kawasan daratan akibat daripada penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.


Semasa kemuncak musim ini pada Julai hingga September, fenomena jerebu setempat dan rentas sempadan boleh berlaku sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal. Oleh itu, sebarang pembakaran terbuka perlu dielak bagi menghindar bencana jerebu yang boleh mencemarkan alam sekitar. Orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini berikutan taburan hujan yang sedikit.


Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini yang sahih melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan serta menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

SUMBER:

Facebook Rasmi MET


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI