Penjelasan Berkenaan Dakwaan Buah Nanas Yang Mengandungi Siklamat

TULAR:
3111

Menurut kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) merujuk kepada isu buah nanas kecil yang tular di media sosial, yang didakwa mengandungi bahan pemanis tanpa zat siklamat. Buah nanas kecil tersebut dikenali sebagai “baby nanas” dan pernah tular pada tahun 2017 dan 2019. Kenyataan akhbar berhubung perkara ini pernah dikeluarkan pada 31 Mei 2019.

Siklamat adalah sejenis pemanis tanpa zat yang memberikan rasa manis 30-50 kali lebih daripada gula sukrosa. Menurut Codex General Standard for Food Additives (GSFA), siklamat adalah dibenarkan ditambah dalam makanan tertentu seperti jem, jeli, dan marmalad, produk koko dan hasilan coklat termasuk sapuan koko dan coklat sebatian serta minuman berperisa. Namun siklamat tidak dibenarkan ditambah di dalam buah-buahan segar termasuk yang telah dikupas atau sedia dimakan. Peraturan-Peraturan Makanan 1985 turut tidak membenarkan penambahan siklamat pada buah-buahan segar.

KKM melalui BKKM telah meningkatkan pemantauan buah nanas di pasaran tempatan semenjak tahun 2017 dan bermula 2021 telah mengenakan pemeriksaan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) ke atas “baby nanas” (kulit berkupas) yang diimport masuk ke dalam negara. Sehingga kini, sebanyak 115 sampel buah nanas telah diambil bagi tujuan analisa pelbagai parameter. Sebelas (11) sampel didapati mengandungi siklamat dan telah disabitkan kesalahan dengan jumlah denda RM8,500.

KKM akan meneruskan pemantauan ke atas buah nanas di semua pintu masuk negara dan pasaran tempatan bagi memastikan ianya mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. BKKM juga turut bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia bagi perkongsian data pemantauan nanas yang dijual di pasaran tempatan.

SUMBER:

Facebook Rasmi KKM
Twitter Rasmi KKM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI