Penjelasan Dakwaan Pencemaran Acrylamide dan Glicidol Di Dalam Produk Konfeksi Termasuk Biskut

TULAR:
1493

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini isu pencemaran acrylamide dan glicidol susulan laporan oleh CHOICE Magazine di dalam laman web Majlis Pengguna Hong Kong (The Hong Kong Consumer Council) berkaitan 60 jenama produk konfeksi tepung termasuk biskut, yang dijual di pasaran Hong Kong mengandungi acrylamide dan glicidol. Antara jenama yang disenaraikan termasuk jenama biskut Hup Seng, Jacobs dan Julie’s yang dikilangkan di Malaysia.

Menurut International Agency for Research on Cancer (IARC), acrylamide dan glicidol merupakan bahan karsinogen dan boleh memberi risiko kepada kesihatan manusia. Acrylamide adalah bahan pencemaran yang boleh terhasil semasa pemprosesan atau penyediaan makanan. Namun bahan pencemaran tersebut boleh dikawal melalui pemilihan bahan mentah dan proses yang bersesuaian.

Pemantauan yang dijalankan oleh KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sejak 2015 bagi produk biskut di pasaran tempatan termasuk jenama terlibat, mendapati tahap purata acrylamide adalah 246 µg/kg (microgram per kilogram) iaitu di bawah paras (benchmark level) yang ditetapkan oleh European Union (EU) Commission Regulation iaitu 350 µg/kg.

BKKM turut menjalankan penilaian risiko ke atas acrylamide dan glicidol dalam makanan dan ia menunjukkan risiko kesihatan terhadap acrylamide dan glicidol melalui pengambilan biskut adalah rendah.

Pengguna boleh mendapatkan panduan pencemaran acrylamide di dalam makanan dari Facebook rasmi BKKM. KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Pengguna juga boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika terdapat isu-isu berkaitan keselamatan makanan.

SUMBER:

Facebook Rasmi KKM
Twitter Rasmi KKM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI