Penjelasan Pendaftaran Perkahwinan Sivil Oleh YB MDN Di Pejabat JPN Putrajaya

TULAR:
951

Menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN):

JPN merujuk video yang sedang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp ketika ini mengenai YB Menteri Dalam Negeri sedang mendaftarkan perkahwinan sivil pasangan bukan muslim di Pejabat JPN Putrajaya sempena Majlis Sambutan Jubli intan JPN yang diadakan pada pagi, 25 Oktober 2023 (Rabu).

Video tersebut merupakan rakaman di mana YB Menteri telah di jemput oleh JPN untuk merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan Jabatan pada 25 Oktober 2023. Antara pengisian program adalah mendaftarkan perkahwinan sivil dua (2) pasangan yang telah dipilih oleh JPN.

JPN merupakan agensi yang bertanggungjawab melaksanakan pendaftaran perkahwinan sivil serta merekodkan maklumat perkahwinan dan penceraian bagi bukan Islam selaras dengan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 [Akta164].

Berdasarkan Akta ini, Menteri Dalam Negeri merupakan Menteri yang bertanggungjawab bagi pendaftaran perkahwinan sivil yang mana membolehkan beliau melakukan pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam. Selain YB MDN, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftan Negara, Pengarah Bahagian Perkahwinan dan Penceraian, Pengarah Pendaftaran Negeri serta Pegawai dan kakitangan JPN yang bertugas di Bahagian Perkahwinan dan Penceraian sebagai Timbalan pendaftar Perkahwinan turut diberi kuasa tersebut.

JPN ingin menegaskan sesi pendaftaran perkahwinan yang dijalankan di JPN adalah berdasarkan undang-undang sivil di bawah Akta 164. Proses pendaftaran Perkahwinan Sivil tersebut tidak melibatkan, tidak menyerupai, tidak melambangkan dan tidak dipengaruhi dengan mana-mana ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum.

Lafaz ikrar yang dituturkan oleh pendaftar adalah perkataan yang terkandung dalam Seksyen 23, Akta 164 yang terbentuk keterangan sifat perkahwinan sivil semata-mata ianya juga persetujuan dan kesanggupan pasangan menerima perkahwinan tersebut dengan rela hati tanpa paksaan dari mana-mana pihak. Malah sesi pendaftaran Perkahwinan Sivil dengan YB Menteri ini diadakan sebagai acara istimewa untuk pasangan terpilih Ketika sambutan Hari Pendaftaran Negara setiap tahun.

SUMBER:

Facebook Rasmi JPN
X Rasmi JPN


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI