Waspada Penyebaran Maklumat Tidak Sahih Berkaitan Imunisasi

TULAR:
1275

WASPADA:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak sahih berkaitan dengan vaksin, khususnya yang terdapat di laman-laman media sosial.

Menurut KKM, terdapat golongan serta individu yang secara terang – terangan mempengaruhi orang awam untuk menolak vaksin dengan fahaman yang salah melalui penyebaran maklumat yang tidak sahih. Kebanyakan maklumat tidak sahih mengenai vaksin digembar-gemburkan oleh mereka yang taksub dengan dakwaan bahawa vaksin dan Program Imunisasi Kebangsaan yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak memberi manfaat dan menimbulkan banyak kesan buruk. Pada hakikatnya dakwaan tersebut adalah tidak tepat sama sekali.

Perbuatan tidak bertanggungjawab golongan ini telah menyebabkan usaha – usaha KKM berdepan dengan rintangan dan kesannya adalah peningkatan kes-kes penyakit berjangkit yang boleh dicegah oleh vaksin. Malahan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengenalpasti penolakan vaksin sebagai salah satu ancaman kesihatan global bagi tahun 2019.

[Kenyataan penuh KKM di: https://kpkesihatan.com/2019/01/22/kenyataan-akhbar-kpk-22-januari-2019-penyebaran-maklumat-tidak-sahih-berkaitan-imunisasi/]

Pemantauan KKM mendapati wujud ibubapa yang menolak pemberian vaksin kepada anak mereka setelah terpengaruh dengan maklumat tidak tepat yang disebarkan. Bilangan kes penolakan vaksin yang direkodkan di klinik – klinik kerajaan terus meningkat iaitu daripada 637 kes pada tahun 2013 kepada 1,603 kes pada tahun 2016. Terdapat sedikit penurunan kes penolakan vaksin tahun 2017 iaitu kepada 1,404 kes berikutan usaha-usaha advokasi yang dijalankan oleh KKM secara meluas bersama pelbagai pihak awam dan swasta termasuk pertubuhan bukan kerajaan serta sukarelawan kumpulan media sosial perubatan. Jika situasi penolakan vaksin ini berterusan, kemungkinan penyakit – penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin akan terus meningkat dan usaha kerajaan dalam mengukuhkan Program Imunisasi Kebangsaan dan usaha advokasi bagi mencegah penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin selama ini menjadi sia – sia.

Sehubungan dengan itu, KKM menyeru ibubapa untuk mematuhi Jadual Imunisasi Kebangsaan dan tidak mempercayai propaganda tidak benar mengenai keburukan vaksin yang digembar – gemburkan di media sosial. KKM ingin menegaskan kepada semua pengamal perubatan untuk membantu KKM dalam usaha untuk meningkatkan penerimaan imunisasi. Mana – mana pihak yang mempunyai kemusykilan mengenai vaksin dan imunisasi dinasihatkan agar mendapatkan fakta yang tepat daripada laman sesawang http://www.myhealth.gov.mywww.infosihat.gov.my dan immunise4life.my/. Ibubapa juga boleh datang ke mana – mana fasiliti kesihatan untuk berjumpa dengan anggota kesihatan untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan vaksin dan imunisasi bayi dan kanak-kanak.

SUMBER:
Kementerian Kesihatan Malaysia


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI