Waspada Produk Garcinia Cambogia Booster Capsule Dan SS-II Cosmetic 5 In I Serlahkan Kejelitaanmu-Herbal Cream

TULAR:
602

WASPADA :

Orang ramai diminta berwaspada dengan produk Garcinia Cambogia Booster Capsule yang mengandungi Sildenafil dan SS-II Cosmetic 5 In I Serlahkan Kejelitaanmu-Herbal Cream yang mengandungi Mercury.

Sumber gambar: KPKesihatan

Menurut kenyataan rasmi Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia :

Produk Garcinia Cambogia Booster Capsule dan SS-II Cosmetic 5 In I Serlahkan Kejelitaanmu-Herbal Cream tidak pernah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di Malaysia.

Sekiranya terdapat penjual dan pengedar produk ini, adalah diberi amaran bahawa pemilikan untuk jualan produk ini melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Jika ada orang awam yang sedang menggunakan produk-produk yang dinyatakan digesa supaya mendapatkan nasihat serta rawatan dari profesional kesihatan dengan SEGERA. Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai produk-produk tidak berdaftar ini dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras pengedaran produk-produk ini di pasaran.

Orang awam diminta untuk memastikan produk yang diguna adalah produk berdaftar di mana ianya mempunyai pelekat hologram dan dilabel dengan nombor Pendaftaran MAL. Semakan status pendaftaran sesuatu produk boleh dibuat melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my/ atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400.”

SUMBER:

Laman Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI