Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):
KKM mengambil maklum amaran yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 25 April 2023 mengenai sirap ubat batuk tercemar https://www.who.int/news/item/25-04-2023-medical-product-alert-n-4-2023–substandard-(contaminated)-syrup-medicines .
Laporan tersebut adalah merujuk kepada sirap ubat batuk Guaifenesin Syrup TG Syrup yang dikilangkan oleh QP Pharmachem Ltd. (Punjab, India) yang telah dikesan mengandungi diethylene glycol dan ethylene glycol melebihi had yang dibenarkan.
Semakan ke atas pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM mendapati bahawa produk tersebut tidak berdaftar di Malaysia.
Pengambilan produk sirap ubat batuk yang tercemar dengan diethylene glycol (DEG) dan ethylene glycol (EG) adalah toksik kepada manusia yang boleh memberikan kesan seperti sakit pada bahagian abdomen, muntah, cirit-birit, kesukaran untuk membuang air kecil, sakit kepala, perubahan pada keadaan mental dan kecederaan yang teruk pada buah pinggang. Produk yang tercemar ini adalah tidak selamat untuk digunakan terutamanya di kalangan kanak-kanak kerana ia boleh menyebabkan kesan yang serius atau kematian.
Meskipun produk ini tidak berdaftar di Malaysia, KKM ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati orang awam yang berkemungkinan menggunakan atau mengetahui sesiapa yang sedang menggunakan produk ini untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli professional kesihatan, terutama jika mengalami sebarang kesan sampingan atau kesan advers.