
SEBENARNYA:
Menurut kenyataan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN):
1. PERHILITAN mengambil maklum berhubung penularan sebuah video laporan oleh The Sun bertajuk “Netizen Sparks Outcry Over ‘Emaciated Malayan Tiger In Japan” yang telah tersebar luas di media sosial pada 30 April 2026.
2. Video tersebut memaparkan seekor harimau yang didakwa sebagai Harimau Malaya dalam keadaan kurus dan tidak sihat di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun, sekali gus mencetuskan kebimbangan serta reaksi negatif dalam kalangan masyarakat, khususnya berkaitan kebajikan hidupan liar dan imej pemuliharaan Harimau Malaya.
3. Jabatan PERHILITAN ingin menjelaskan bahawa hasil semakan dan pengesahan. lanjut mendapati hidupan liar yang dipaparkan dalam video berkenaan adalah Harimau Amur (Panthera tigris altaica) dan bukan Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni). Jabatan ini juga menegaskan bahawa Harimau Amur tersebut bukan milik Jabatan PERHILITAN atau Kerajaan Malaysia seperti yang didakwa.
4. Penularan maklumat yang tidak tepat ini telah menyebabkan kekeliruan awam, khususnya apabila spesies hidupan liar tersebut disalah anggap sebagai Harimau Malaya, sekali gus menjejaskan persepsi terhadap usaha pemuliharaan spesies terancam negara.
5. Sehubungan itu, PERHILITAN ingin menegaskan bahawa orang awam hendaklah bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat, khususnya di media sosial, dengan memastikan kesahihan fakta sebelum menyebarkan sebarang kandungan. Penyebaran maklumat tidak tepat atau tidak disahkan boleh menimbulkan kekeliruan, mencetuskan persepsi negatif, serta menjejaskan usaha pemuliharaan hidupan liar di peringkat nasional dan antarabangsa.
6. Orang ramai juga disaran untuk merujuk kepada sumber rasmi kerajaan atau pihak berautoriti dalam mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih, serta mengelakkan daripada membuat spekulasi yang tidak berasas.
7. PERHILITAN kekal komited dalam memastikan pemuliharaan hidupan liar negara terus dipelihara dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan di dalam dan luar negara bagi menjamin kebajikan spesies terancam, termasuk Harimau Malaya.
SUMBER:






