Waspada Skim Pelaburan Dan Perniagaan Menyalahgunakan Nama & Logo PIDM

TULAR:
1390

Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) meminta orang awam berwaspada dengan bahan pemasaran palsu menyalahgunakan nama dan logo PIDM bagi mempromosikan skim pelaburan atau perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rafiz Azuan Abdullah berkata, PIDM menerima beberapa pertanyaan daripada konsumer kewangan mengenai bahan pemasaran berkaitan pelaburan, skim dan produk atau kewangan yang memaparkan nama dan logo perbadanan itu.

Menurutnya, ramai diminta membuat pembayaran mengaktifkan perlindungan PIDM bagi menerima dana daripada pihak ketiga, biasanya dalam bentuk pulangan pelaburan daripada skim, perkhidmatan atau produk kewangan.

“Saya ingin menegaskan perlindungan disediakan PIDM kepada pendeposit bank, pemilik sijil takaful dan polisi insurans secara automatik dan percuma. Perlindungan ini tidak memerlukan sebarang pembayaran dan pendaftaran.

“Orang ramai juga diingatkan bahawa perlindungan PIDM tidak merangkumi pinjaman dan produk kewangan bukan deposit seperti unit amanah, saham dan produk pelaburan emas dan perak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafiz berkata, institusi ahli PIDM membabitkan semua bank perdagangan konvensional dan bank Islam, syarikat insurans am, syarikat insurans hayat, serta pengendali takaful dilesenkan Bank Negara Malaysia dengan senarai penuhnya boleh didapati di pidm.gov.my.

SUMBER:

Sinar Harian
Bernama


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI