
Menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES):
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) Siri 5 dan Siri 6 di negeri Perlis dan Kedah pada 10 hingga 12 Mei 2026 dan 17 hingga 19 Mei 2026 sebagai langkah proaktif bagi meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan utama.
Operasi ini akan memberi tumpuan kepada kawasan tadahan Empangan Timah Tasoh di Perlis dan Empangan Pedu, Ahning, Muda dan Beris di Kedah bagi meningkatkan paras air empangan yang berada pada paras waspada.
Pelaksanaan OPA ini melibatkan kerjasama strategik Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), MET Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
OPA akan dilaksanakan berdasarkan analisis meteorologi yang teliti oleh MET Malaysia dengan mengambil kira faktor kelembapan udara, kestabilan atmosfera serta corak pergerakan angin bagi memastikan keberkesanan operasi. Kawasan sasaran dipilih berdasarkan kehadiran awan hujan yang berpotensi untuk proses pembenihan.
SUMBER:






