Makluman: Penukaran Kad Pengenalan Kepada Mykad Struktur Baharu Tidak Menjejaskan Penyaluran Bantuan Kerajaan Kepada Rakyat

TULAR:
3

Menurut kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN):

1. JPN ingin memberi jaminan sepenuhnya bahawa proses peralihan serta penukaran kad pengenalan kepada MyKad Struktur Baharu yang akan dilaksanakan pada bulan Jun ini, tidak akan mengganggu proses penebusan bantuan kerajaan yang menggunakan MyKad seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95). JPN juga akan memastikan senarai nama penerima bantuan yang sedia ada di dalam sistem akan kekal dan tidak tercicir semasa proses pertukaran ini.

2. Kenyataan yang dikeluarkan ini bagi menjawab kegusaran segelintir pihak mengenai kemungkinan gangguan teknikal atau keciciran nama daripada senarai penerima bantuan susulan pelancaran MyKad Struktur Baharu pada bulan Jun ini.

3. Pihak JPN telah menjalin kerjasama erat dengan pelbagai kementerian dan agensi penyalur bantuan bagi memastikan integriti data yang disalurkan tetap kekal lancar dan utuh. Proses migrasi maklumat akan berlaku secara automatik dalam sistem pangkalan data pusat, sekali gus memastikan bantuan akan diterima kepada penerima yang layak.

4. Ciri keselamatan baharu pada MyKad Struktur Baharu tersebut akan memantapkan lagi proses pengesahan identiti penerima. MyKad Struktur Baharu tetap menyokong ekosistem sedia ada yang digunakan untuk tujuan penyaluran subsidi dan bantuan.

5. JPN memahami kebimbangan masyarakat, terutamanya golongan rentan yang bergantung kepada bantuan kerajaan. Fokus utama JPN adalah untuk meningkatkan keselamatan identiti rakyat dan tidak menyukarkan rakyat untuk menerima bantuan kerajaan yang diberikan.

6. Rakyat dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan khabar angin atau maklumat palsu yang mendakwa bantuan akan dihentikan jika kad tidak ditukar dengan segera. Proses penukaran akan dilaksanakan secara berfasa dan makluman terperinci mengenai tatacara permohonan akan diumumkan dalam masa terdekat.

7. Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi JPN di www.jpn.gov.my atau saluran rasmi media sosial JPN.

SUMBER:

Facebook Rasmi JPN


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI