Penjelasan Berkenaan Video Yang Memaparkan Titah DYMM Sultan Perak Didakwa Memberi Sokongan Kepada Parti Politik

TULAR:
2186

Menurut kenyataan Pejabat Dewan Negeri Perak:

Satu video ditularkan oleh seorang wanita, memuat naik satu bahagian kecil titah Raja Nazrin Shah yang dizahirkan pada tahun 2013 di Dewan Bahasa dan Pustaka menyentuh parti PAS. Cara klip video itu diolah, telah mengaitkan dan mengheret secara langsung atau tidak langsung kedudukan seorang Raja Pemerintah untuk tujuan politik kepartian.

Video tersebut memilih memuat naik sebahagian kecil titah Raja Nazrin Shah (ketika itu Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan) yang dizahirkan pada 19 Februari 2013 di Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka bertema, ‘PERPADUAN UMMAH; HARAPAN, REALITI DAN CABARAN‘. Dalam wacana tersebut, baginda menzahirkan analisis melibatkan dua buah parti terbesar Melayu, iaitu UMNO dan PAS, yang merupakan dua kuasa politik Melayu yang dominan ketika itu. Baginda tidak hanya menzahirkan kata-kata positif terhadap PAS (pada tahun 2013) tetapi secara seimbang turut menzahirkan kupasan yang sama terhadap UMNO.

Baginda memberikan ulasan seimbang antara dua buah parti politik Melayu tersebut dan turut menzahirkan peringatan kepada kedua-dua pihak agar keghairahan mendapatkan sokongan politik dan kuasa jangan sampai memecahbelahkan bangsa dan memusnahkan negara.

Adalah dipercayai ada pihak yang memilih memetik titah Sultan Nazrin Shah pada tahun 2013 untuk ditularkan semula dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi agar menyokong Parti PAS dalam suasana menjelang Pilihan Raya di enam buah negeri pada 12 Ogos 2023.

Melalui kenyataan media ini, ditegaskan bahawa Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak sama sekali memihak dan jauh sekali daripada memberikan sokongan secara terbuka kepada mana-mana kumpulan politik. Perbuatan menularkan video yang berkaitan sangat tidak beretika dan perbuatan seperti ini disifatkan tidak bersopan kepada seorang raja pemerintah dan telah mencemarkan nama baik takhta. Oleh itu penularan video yang berkaitan wajib dihentikan.

SUMBER:

Facebook Rasmi Pejabat SUK Negeri Perak


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI