
Menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES):
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memandang serius situasi jerebu yang melanda negara sejak 8 Ogos 2026, khususnya di Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Keadaan tersebut dikaitkan dengan fenomena El Niño yang semakin menguat dan berlaku serentak dengan Monsun Barat Daya, yang menyebabkan kebanyakan kawasan mengalami pengurangan taburan hujan serta keadaan cuaca yang lebih panas dan kering.
Walau bagaimanapun, keadaan jerebu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dilaporkan telah beransur baik. Sehingga jam 12.00 tengah hari, sebanyak tiga kawasan di Sarawak, iaitu Kuching, Samarahan dan IPD Serian, serta satu kawasan di Semenanjung Malaysia, iaitu Johan Setia, merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, manakala kawasan lain merekodkan bacaan pada tahap sederhana.
Persediaan Menghadapi El Niño dan Jerebu
Kerajaan telah mengambil langkah persediaan bagi menghadapi fenomena El Niño dan Monsun Barat Daya sejak Jun 2026. Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bil. 1/2026 yang diadakan pada 15 Jun 2026 turut membincangkan kesan fenomena El Niño terhadap sektor pertanian, penyusutan paras air empangan, peningkatan risiko pembakaran terbuka dan jerebu.
Semua pihak termasuk Kerajaan Negeri telah dimaklumkan mengenai keperluan melaksanakan tindakan selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK).
NRES turut memaklumkan bahawa fenomena El Niño dengan intensiti yang semakin kuat merupakan cabaran besar, khususnya bagi negara yang mempunyai kawasan tanah gambut yang luas dan dalam.
Risiko Jerebu Rentas Sempadan
Di peringkat ASEAN, NRES telah menyertai Mesyuarat Ke-27 Ministerial Steering Committee (MSC) dan Technical Working Group (TWG) mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan yang berlangsung pada 8 dan 9 Julai 2026 di Bali, Indonesia.
Mesyuarat tersebut melibatkan enam negara di selatan rantau ASEAN, iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Timor-Leste. Negara-negara anggota MSC telah membincangkan strategi serta inisiatif bagi mencegah kebakaran hutan dan tanah.
Menurut NRES, ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) turut melaporkan bahawa titik panas (hotspots), asap jerebu dan fenomena El Niño diramalkan lebih kuat berbanding tahun 2025. Tempoh kering yang berpanjangan juga berpotensi meningkatkan risiko berlakunya jerebu merentas sempadan.
Sehubungan itu, NRES telah mengemukakan surat rasmi kepada Sekretariat ASEAN bagi menyeru negara-negara di selatan rantau ASEAN supaya mempergiatkan usaha persediaan menghadapi kemungkinan El Niño yang kuat, di samping mencegah jerebu merentas sempadan dan mengurangkan intensitinya sekiranya berlaku.
Di bawah Perjanjian ASEAN Mengenai Jerebu Merentas Sempadan, Tahap Amaran 2 telah diaktifkan pada 3 Ogos 2026. Negara-negara di selatan rantau ASEAN perlu mengemukakan pelaporan harian dan tindakan balas kecemasan bagi kejadian kebakaran, jerebu serta tindakan yang telah diambil.
Kerjasama Malaysia dan Indonesia
Malaysia dan Indonesia turut memperkukuh kerjasama bagi menangani risiko kebakaran dan jerebu merentas sempadan. Kedua-dua negara telah bertukar pandangan serta berkongsi usaha untuk memantau dan mengekang peningkatan titik panas agar situasi jerebu merentas sempadan dapat dielakkan.
Kedua-dua negara komited untuk melipatgandakan usaha menangani kebakaran dan keadaan jerebu pada masa ini.
NRES bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan terus memantau serta melaporkan perkembangan terkini berkaitan cuaca, kualiti udara dan situasi jerebu di seluruh negara dari semasa ke semasa.
Nasihat Kepada Orang Awam
Susulan keadaan cuaca panas dan kering serta jerebu, orang awam khususnya di kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk:
- Mengurangkan aktiviti di luar bangunan;
- Memakai pelitup muka sekiranya berada di kawasan terjejas; dan
- Minum air secukupnya bagi mengekalkan hidrasi.
Orang ramai juga disarankan supaya mendapatkan maklumat terkini daripada sumber rasmi. Maklumat IPU rasmi boleh dirujuk melalui laman sesawang JAS atau aplikasi MyJAS EQMS, manakala maklumat cuaca rasmi boleh diperoleh melalui laman sesawang MET Malaysia atau aplikasi myCuaca.
SUMBER:






