
Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS):
Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan mengenai perkembangan terkini status kualiti udara dan jerebu di Malaysia berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) serta pemantauan keadaan jerebu serantau.
Berdasarkan bacaan IPU yang direkodkan pada jam 11.00 pagi, 14 Ogos 2026, sebanyak 11 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, 48 kawasan pada tahap sederhana, manakala sembilan (9) kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
Antara kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat ialah:
- Kuching, Sarawak – IPU 164
- Samarahan, Sarawak – IPU 161
- IPD Serian, Sarawak – IPU 160
- Bintulu, Sarawak – IPU 157
- Sarikei, Sarawak – IPU 157
- Sri Aman, Sarawak – IPU 153
- Sibu, Sarawak – IPU 152
- Mukah, Sarawak – IPU 151
- Samalaju, Sarawak – IPU 118
JAS memaklumkan bahawa kualiti udara negara pada ketika itu didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, khususnya di Sarawak. Keadaan tersebut disebabkan oleh pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.
Keadaan Jerebu Serantau
Menurut laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 14 Ogos 2026, berdasarkan imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, sebanyak 226 titik panas (hotspot) dikesan di Kalimantan, lima (5) di Sumatera dan tujuh (7) di Malaysia, iaitu lima (5) di Sarawak serta dua (2) di Sabah.
Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC pada tarikh sama menunjukkan keadaan cuaca kering berlaku di kebanyakan kawasan di rantau ASEAN Selatan, kecuali bahagian utara Sumatera dan Semenanjung Malaysia yang mengalami hujan.
Titik panas dikesan secara meluas terutama di Kalimantan, manakala beberapa titik panas turut dikesan secara terpencil di kawasan lain di rantau ASEAN Selatan. Kelompok asap rentas sempadan sederhana hingga padat diperhatikan berpunca daripada kelompok titik panas di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara memasuki bahagian barat Sarawak.
Beberapa stesen pengawasan kualiti udara di Kalimantan Barat serta bahagian barat dan tengah Sarawak turut merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat. Walau bagaimanapun, liputan penuh situasi titik panas dan jerebu di rantau ini tidak dapat ditentukan berikutan keadaan litupan awan.
Tindakan Jabatan Alam Sekitar
JAS memaklumkan bahawa tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian telah dipertingkatkan di kawasan-kawasan yang berpotensi berlaku aktiviti pembakaran terbuka. Pemantauan bacaan IPU juga dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Selain itu, Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi Kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka serta menghadapi situasi jerebu negara.
Semua pemilik tanah turut dinasihatkan supaya memantau dengan rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri serta mengambil langkah sewajarnya bagi mencegah pencerobohan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mendapatkan maklumat berkaitan status kualiti udara melalui saluran rasmi dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya berada di kawasan yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat.
SUMBER:






