Waspada Penipuan Jualan Vaksin COVID-19 Secara Dalam Talian

TULAR:
1490

Menurut kenyataan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK):

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil telah mengesan terdapat penularan informasi di media sosial berkenaan penjualan vaksin COVID-19 secara atas talian. Walaupun pihak pengendalian perkhidmatan jualan yang berkenaan telah mengeluarkan kenyataan bagi menafikan terdapatnya iklan tersebut, namun jabatan ini tidak menolak kemungkinan wujudnya iklan-iklan palsu berkenaan penjualan vaksin COVID-19 pada masa akan datang.

Sebagaimana yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan, pemberian vaksin COVID-19 akan dilaksanakan secara percuma kepada rakyat Malaysia. Justeru, sebarang tawaran penjualan vaksin ini oleh mana-mana pihak adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan berkemungkinan satu penipuan. Pihak JSJK sentiasa komited untuk melaksanakan pemantauan secara berterusan bagi mengesan dan membanteras mana-mana pihak yang cuba mengiklankan penjualan vaksin ini secara dalam talian.

Orang ramai adalah diingatkan untuk sentiasa berwaspada dengan tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba “menangguk di air keruh”. Sentiasa peka dengan pengumuman dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dari masa ke semasa bagi memastikan maklumat yang tepat diperolehi berkaitan program vaksinasi ini.

SUMBER:

Facebook Rasmi JSJK


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI