Waspada Produk Coklat Jenama Slymchoco/ Slymochoco

TULAR:
879

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):

Hasil pemantauan terkini yang dijalankan oleh Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) mendapati bahawa produk coklat jenama Slymchoco atau Slymochoco dikesan mengandungi Sibutramine iaitu sejenis sebatian kimia yang bertindak sebagai pemendam rasa lapar atau selera makan (appetite suppressant). Berdasarkan data daripada satu kajian di peringkat antarabangsa dikenali sebagai “Sibutramine on Cardiovascular Outcome Study (SCOUT)”, Sibutramine didapati mempertingkatkan risiko kardiovaskular seperti serangan jantung dan strok terhadap pesakit obes yang mengambil ubat berkenaan. Justeru KKM memutuskan Sibutramine sebagai bahan terlarang yang tidak lagi berdaftar dengan KKM.

Antara kesan sampingan Sibutramine yang dilaporkan termasuk gangguan fungsi sistem jantung seperti menyebabkan degupan jantung menjadi lebih laju walaupun dalam keadaan rehat. Selain daripada kesan sampingan yang serius, terdapat juga kesan sampingan yang ringan seperti mulut kering, rasa mual, sembelit, sukar tidur, pening, senggugut dan sebagainya. Sibutramine banyak disalahguna dalam produk makanan bagi memberikan kesan penurunan berat badan.

Di samping itu, label produk tersebut didapati tidak mematuhi kehendak-kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tiada nama sebutan sebenar produk dalam Bahasa Malaysia; tiada nama dan alamat pengilang / pembungkus / pengedar / empunya hak untuk mengilang / pengimport; dan mempunyai akuan “premium”. Label tersebut juga memaparkan label Skim Pensijilan GMP dan Skim Pensijilan MeSTI KKM palsu. Sehubungan itu, produk tersebut tidak boleh diiklankan untuk jualan dan tidak boleh dijual seperti dinyatakan di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan 2 Makanan 1985.

SUMBER:

Facebook Rasmi KKM

Instagram Rasmi KKM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI