Air Minuman Jenama Starfresh Ditarik Balik Dari Pasaran Singapura?

TULAR:
1680

PENJELASAN:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperjelaskan laporan berhubung penarikan balik produk air minuman berbungkus (AMB) jenama Starfresh keluaran Malaysia dari pasaran Singapura.

Sumber gambar: Facebook

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk air minuman berbungkus (AMB) jenama Starfresh keluaran Malaysia dari pasaran Singapura sebagaimana yang dilaporkan di laman sesawang Singapore Food Agency (SFA) bertarikh 12 Jun 2019. Laporan tersebut menyatakan pihak SFA telah mengarahkan produk AMB tersebut ditarik balik kerana dikesan tercemar dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa. Produk AMB yang terlibat berisipadu 1500ml dan 500ml dengan tarikh akhir masing-masing pada 13 Mei 2021 dan 11 Mei 2021.

Bakteria Pseudomonas aeruginosa adalah sejenis bakteria yang terdapat secara meluas di persekitran dan boleh ditemui di dalam air, najis, sisa kumbahan dan tanah. Bakteria ini boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan penyakit kepada manusia khususnya kepada golongan yang mempunyai sistem ketahanan badan yang rendah. Namun, produk makanan yang dicemari bakteri ini jarang memberikan kesan kesihatan kepada individu yang sihat.

Hasil verifikasi oleh KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mendapati kilang yang menghasilkan produk tersebut melaksanakan program jaminan keselamatan makanan dan mematuhi keperluan pelesenan punca air minuman yang ditetapkan oleh KKM.

KKM mengesahkan produk AMB jenama Starfresh hanya dipasarkan ke Singapura dan tidak dijual di pasaran tempatan. Walau bagaimanapun, KKM sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca pencemaran sepertimana yang dilaporkan sebelum tindakan lanjut diambil.

SUMBER:

Facebook Rasmi KKM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI