
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):
KKM mengambil maklum kebimbangan yang dibangkitkan berhubung status pengiktirafan program farmasi yang ditawarkan oleh Universiti Alexandria, Mesir. Sejak isu ini dikenal pasti, KKM telah melaksanakan pelbagai usaha termasuk libat urus dengan pihak berkepentingan dan pihak universiti bagi membolehkan proses penilaian program dilaksanakan.
Universiti Alexandria sebelum ini menawarkan program Bachelor of Pharmaceutical Science dan Bachelor of Pharmacy (Clinical Pharmacy) yang telah diiktiraf oleh Lembaga Farmasi Malaysia (LFM). Walau bagaimanapun, pada tahun 2019 universiti tersebut telah menggantikan program berkenaan dengan Bachelor of Pharmacy PharmD dan Bachelor of Pharmacy PharmD (Clinical Pharmacy), yang mempunyai struktur kurikulum berbeza dan belum melalui proses penilaian serta pengiktirafan oleh LFM selaku badan kawalselia yang bertanggungjawab ke atas pendaftaran dan amalan profession farmasi berdasarkan Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 [Akta 371].
Bagi memastikan kepentingan pelajar yang terjejas diberi perhatian sewajarnya tanpa menjejaskan standard profesional dan kompetensi yang ditetapkan untuk berdaftar serta mengamalkan farmasi di Malaysia, KKM akan membuat pertimbangan ke atas kelayakan individu pelajar yang terjejas berdasarkan peruntukan di bawah Akta 371. Pelajar yang terlibat akan dihubungi segera untuk mengemukakan permohonan. Penilaian awal kelayakan individu pelajar melalui semakan transkrip akademik dan dokumen sokongan yang dikemukakan akan dijalankan untuk pertimbangan lanjut Lembaga Farmasi Malaysia.
Walau bagaimanapun, usaha ini tidak mengetepikan keperluan untuk mengiktiraf program farmasi baharu mengikut tatakelola yang telah ditetapkan bagi memastikan hanya program farmasi yang menepati standard diberi pengiktirafan. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), melalui Education Malaysia Mesir (EMM) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), akan terus membantu dan memudah cara proses permohonan pengiktirafan program farmasi Universiti Alexandria.
SUMBER:






