Makluman: Syarikat Pelancongan Didenda Rm8,000 Kerana Gagal Menggunakan Khidmat Pemandu Pelancong Berlesen

TULAR:
3

Menurut kenyataan Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC):

Mahkamah Sesyen, Pasir Mas, Kelantan pada 11 Jun 2026 telah menjatuhkan hukuman terhadap Syarikat Tong Bus & Tour Service Sdn. Bhd. (No. Syarikat: 537966-P) selepas syarikat tersebut mengaku bersalah terhadap pertuduhan gagal menggunakan khidmat pemandu pelancong berlesen ketika mengendalikan aktiviti pelancongan dalam negeri.

Hakim Tuan Zulkpli bin Abdullah telah mensabitkan syarikat tersebut melakukan kesalahan di bawah Peraturan 6(1)(i)(iii) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992 [P.U.(A) 333/1992] lalu menjatuhkan hukuman denda sebanyak Ringgit Malaysia Lapan Ribu (RM8,000.00) sebagaimana diperuntukkan oleh Peraturan 6(2) P.U.(A) 333/1992 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000.00 atau penjara tidak lebih lima (5) tahun atau kedua-duanya. Sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut, syarikat boleh dikenakan hukuman penjara selama empat (4) bulan. Syarikat telah membayar hukuman denda tersebut.

Pendakwaan telah dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Puan Siti Zulaikha binti Mahadi, Pegawai Pendakwa Puan Nurul Hidayah binti Aman dan dibantu oleh Encik Mohd Shukri bin Talib dari Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

MOTAC menegaskan bahawa kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 dan peraturan-peraturan di bawahnya merupakan kesalahan jenayah yang serius dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang ini.

SUMBER:

Facebook Rasmi MOTAC


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI