Polis Meninggal Dunia Kerana Lewat Diberi Rawatan Di Hospital Seberang Jaya?

TULAR:
1697

PALSU:

Tular di media sosial video yang mendakwa kelewatan pihak Hospital Seberang Jaya di dalam memberi rawatan, telah menyebabkan seorang anggota polis yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya, meninggal dunia.

Sumber gambar: Facebook

SEBENARNYA:

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menyangkal dakwaan ini sekeras-kerasnya dan rawatan mengikut prosedur yang ditetapkan telah diberikan kepada mendiang.

Menurut JKNPP, pada 22 April 2018 pusat Emergency Call Centre (MECC) telah menerima panggilan mengenai insiden kemalangan yang melibatkan mendiang pada pukul 4.10 petang dan ambulans telah tiba di lokasi pada 4.20 petang. Ambulans yang membawa mendiang telah tiba semula ke Jabatan Kecemasan HSJ pada pukul 4.30 petang bagi rawatan selanjutnya. Pemeriksaan awal termasuk rawatan kecemasan yang sewajarnya telah diberi dengan serta merta kepada beliau, termasuk menjalankan ujian darah yang diperlukan. Imbasan X-ray dan CT-scan otak dan tulang belakang pula telah dijalankan pada pukul 5.10 petang dan imbasan MRI pada pukul 8.15 malam. Rawatan resusitasi yang diperlukan telah diberi dan beliau telah dirujuk serta diperiksa oleh pasukan Pakar yang berkaitan.

Oleh itu, dakwaan bahawa tiada rawatan diberi sehingga 4 jam selepas mendiang berada di Jabatan Kecemasan adalah tidak benar sama sekali.

Pihak JKNPP turut menambah, memandangkan ia merupakan kes kecemasan, rawatan diberikan tanpa meminta sebarang bayaran walaupun waris tidak berada di Jabatan Kecemasan ketika itu. Hanya selepas keluarga pesakit tiba ke Hospital Seberang Jaya, keluarga diminta menguruskan protokol pengurusan kemasukan ke hospital namun pada masa yang sama, banyak rawatan telahpun diberi dan masih berjalan. Mendiang telah mengalami kecederaan serius pada tulang belakang (spine) dan saraf tunjang, di mana beliau telah juga dirujuk kepada Pasukan Pakar Ortopedik serta Pasukan Pakar Pembedahan. Pihak JKNPP ingin menyatakan bahawa sebarang ujian dan rawatan kecemasan yang diperlukan pesakit tidak pernah diberhentikan atau dilewatkan.

SUMBER:

Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI