Dakwaan Penumpang Yang Diberikan Perlepasan Dari Tawau Ke Semenanjung Menggunakan “Orang Dalam” Imigresen Dalam Tempoh PKP Adalah Tidak Benar

TULAR:
3433

SEBENARNYA:

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) merujuk kepada penularan kenyataan bergambar di media sosial bertarikh 1 April 2020 yang menyatakan 3 penumpang telah berlepas menaiki pesawat Malaysia Airlines MH2665/1400hrs melalui Lapangan Terbang Tawau.

Pada jam lebih kurang 1800hrs telah tular di media sosial yang menyatakan penumpang tersebut telah diberikan perlepasan ke Semenanjung menggunakan “orang dalam” iaitu “bos imigresen” walaupun pada masa tersebut Perintah Kawalan Pergerakan wabak COVID-19 telah dikuatkuasakan.

Mengikut peraturan imigresen berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa pada 19 Mac 2020 bahawa semua warganegara Malaysia yang sedang bercuti, belajar atau bekerja/ bertugas rasmi di Sabah atau Sarawak adalah tidak dihalang untuk kembali ke Sabah dan Sarawak dan juga sebaliknya, atas faktor kemanusiaan.

Manakala semua warganegara Malaysia yang ingin masuk ke Sabah perlu mendapat kelulusan Kerajaan Negeri Sabah kecuali:

a) Penjawat awam Negeri dan Persekutuan yang masuk ke negeri Sabah untuk menjalankan tugas-tugas essential services tertakluk kepada surat pengesahan Ketua Jabatan yang dikeluarkan khusus setiap kali keperluan tugas.

b) Pekerja sektor swasta yang masuk ke negeri Sabah untuk menjalankan tugas-tugas essential services tertakluk kepada surat pengesahan Majikan yang dikeluarkan khusus setiap kali keperluan tugas.

c) Penduduk bukan rakyat Sabah (Non-Sabahan) termasuk suami/isteru dan anak mereka dengan pemegang Pas Penduduk Tetap Sabah, Penduduk Sabah di bawah Pas Kerja, Pas Pelajar, Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang atau apa-apa perintah pengecualian dibenarkan masuk tertakluk kepada kuarantin kendiri selama 14 hari, stay home notice. Pasangan yang bukan penduduk Sabah perlu menunjukkan bukti perkahwinan.

Hasil siasatan mendapati bahawa dakwaan penumpang tersebut telah diberi perlepasan ke Semenanjung menggunakan “orang dalam” iaitu “bos imigresen” pada hari kejadian adalah tidak benar dan tidak berasas kerana berdasarkan Peraturan di Para 2 diatas, semua warganegara Malaysia tidak dihalang untuk meninggalkan Negeri Sabah dan tidak perlu mendapat kebenaran khas dari pihak Imigresen tetapi hanya perlu melalui pemeriksaan Imigresen biasa sahaja.

JIM Sabah telah berhubung dengan penumpang berkenaan bagi mendapatkan penjelasan dan dimaklumkan bahawa beliau hanya menghubungi pegawai imigresen untuk bertanya status kebenaran berlepas ke Semenanjung dan bukannya menggunakan “orang dalam” seperti didakwa. Beliau telah memohon maaf atas kejadian viral ini kepada Jabatan pada 1120hrs, 03 April 2020 dan berjanji akan memadam kenyataan bergambar tersebut di media sosial.

SUMBER:

Facebook Rasmi Jabatan Imigresen Malaysia

Facebook Rasmi Jabatan Imigresen Negeri Sabah


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI