Dakwaan Seorang Wanita Menggunakan Kabel Polis Dungun Untuk Rentas Negeri Adalah Tidak Benar

TULAR:
1729

Polis menafikan memberi layanan istimewa kepada seorang wanita untuk melakukan perjalanan rentas negeri dari Dungun, Terengganu ke Putrajaya seperti yang tular di media sosial.

Sebelum ini, wanita yang memuat naik status di aplikasi WhatsApp dan mesej dengan seorang sarjan polis mendakwa dapat pulang berhari raya kerana mempunyai ‘kabel’.

Tindakan itu mendapat kecaman warganet yang tidak berpuas hati selain turut memberi imej buruk kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, perkara yang dimaklumkan wanita terbabit itu tidak benar.

“Kita sudah beri kelulusan kepadanya pada hujung April lalu selepas polis di Putrajaya memaklumkan taska wanita terbabit dipecah masuk.

“Kebenaran diberikan untuk dia menyelesaikan urusan berkaitan taskanya dan dia sudah bergerak ke sana (Putrajaya) pada 27 April lalu.

“Wanita terbabit juga sudah mendapat kelulusan untuk kembali ke daerah ini memandangkan anak-anaknya ditinggalkan di sini (Dungun) bersama keluarganya.”

Baharudin berkata, tidak timbul isu layanan istimewa atau ada ‘orang dalam’ kerana kebenaran diberikan selepas menilai pelbagai perkara.

Menurutnya, pihaknya terkilan dengan tindakan wanita itu memuat naik status sedemikian sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan orang ramai.

SUMBER:

Facebook Rasmi Polis Daerah Dungun

Harian Metro


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI