Dua buah Sekolah SBP Sekitar Selangor Ditutup Sementara Waktu Ekoran Jangkitan Wabak Beguk?

TULAR:
573
Sumber gambar: abcnews.go.com

PENJELASAN:

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperjelaskan laporan berhubung susulan Notis Perintah Tutup Premis yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas dua buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) iaitu Sekolah Menengah (SM) Agama Persekutuan Kajang, Selangor dan SBP Integrasi Gombak, Selangor. Kedua-dua sekolah tersebut ditutup buat sementara waktu ekoran jangkitan wabak Beguk (Mumps).

Sumber gambar: Facebook

Menurut kenyataan rasmi KPM:

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ingin memaklumkan bahawa susulan Notis Perintah Tutup Premis yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) ke atas dua buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) iaitu Sekolah Menengah (SM) Agama Persekutuan Kajang, Selangor dan SBP Integrasi Gombak, Selangor ekoran jangkitan wabak Beguk (Mumps), kedua-dua sekolah itu ditutup buat sementara waktu.

Kes telah direkodkan mulai awal Oktober 2018 melibatkan 36 orang murid dari SM Agama Persekutuan Kajang, Selangor yang telah dirujuk ke Klinik Kesihatan Sungai Chua, Kajang. Notis penutupan Bersyarat telah dikeluarkan oleh Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat pada 12 Oktober 2018.

Bagi tujuan kuarantin, pihak sekolah telah mengeluarkan arahan kepada murid Tingkatan 1 hingga 3 untuk pulang ke rumah mulai 12 Oktober sehinga 26 Oktober dan Tingkatan 4  mulai 12 Oktober sehingga 16 Oktober 2018. Tindakan kawalan jangkitan wabak dan pembersihan disinfeksi telah dilakukan oleh Kontraktor Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) mulai 12 sehingga 14 Oktober 2018. Walau bagaimanapun, Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat telah mengeluarkan notis baharu iaitu Notis Perintah Tutup Premis dari 23 Oktober sehingga 9 November 2018 kerana terdapat satu kes dicatatkan pada 23 Oktober 2018.

Dalam pada itu, di SBP Integrasi Gombak pula, seramai 15 orang murid telah dirujuk ke Klinik Kesihatan Gombak pada bulan Oktober 2018 di mana kes terakhir yang dicatatkan pada 23 Oktober 2018 sebanyak tiga kes. Tindakan kawalan jangkitan wabak dan pembersihan disinfeksi telah dilakukan oleh Kontraktor Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) mulai 19 sehingga 21 Oktober 2018. Notis Perintah Tutup Premis telah dikeluarkan oleh PKD Gombak pada 24 Oktober 2018 di mana sekolah itu akan ditutup sehingga 9 November 2018.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengarahkan kedua-dua buah sekolah terbabit akur dengan arahan dan melaksanakan semua urusan penutupan sekolah secara teratur.

SUMBER:

Facebook Rasmi KPM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI