JPN Beri Kad Pengenalan Percuma Kepada Warga Asing di Terminal Bas Kukup?

TULAR:
5743

PALSU:

Tular di media sosial dakwaan kononnya pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi kad pengenalan (IC) percuma kepada warga asing di Terminal Bas Kukup, Pontian, Johor.

Sumber gambar: Facebook

SEBENARNYA:

Menurut kenyataan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN):

Dakwaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi IC percuma kepada warga asing adalah tidak benar dan merupakan tuduhan yang tidak berasas serta berniat jahat.

Gambar-gambar dan video yang ditularkan adalah Program Hari Bertemu Pelanggan JPN Negeri Johor yang diadakan di Terminal Bas Kukup pada 29 Oktober 2019. Program tersebut merupakan program rutin yang dianjurkan oleh JPN Negeri bagi memberikan khidmat nasihat berkaitan hal-hal pendaftaran kepada masyarakat setempat. Program ini juga memberi peluang kepada penduduk kawasan untuk berurusan tanpa perlu hadir ke pejabat JPN.

Tiada perkhidmatan pemberian IC percuma seperti didakwa semasa program tersebut kerana proses permohonan MyPR (IC Merah) kepada MyKad (IC Biru) hanya boleh dibuat di pejabat-pejabat JPN dan pemohon perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Pertimbangan bagi permohonan tersebut akan dibawa ke peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk kelulusan.

Urusan yang dijalankan semasa program ini melibatkan permohonan MyKad kali pertama dan gantian, cabutan sijil kelahiran dan kematian serta khidmat nasihat mengenai isu kewarganegaraan.

SUMBER:

Facebook Rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI