JPN Putrajaya Diserbu Sekumpulan Pendatang Asing Bagi Permohonan Warganegara Malaysia?

TULAR:
2152

PALSU:

Tular di media sosial beberapa keping gambar yang mendakwa kononnya sekumpulan pendatang asing menyerbu JPN Putrajaya bagi mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.

Sumber gambar: Facebook

SEBENARNYA:

Menurut kenyataan rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN):

Tuduhan yang dibuat tersebut adalah sama sekali tidak benar dan akan merosakkan imej serta reputasi JPN. JPN memandang serius perkara ini berikutan ianya sering ditularkan sejak akhir-akhir ini oleh pihak tidak bertanggungjawab dan akan menyebabkan kekeliruan kepada orang awam.

Gambar-gambar yang ditularkan di media sosial merupakan gambar sekumpulan pelanggan yang hadir ke JPN Purtajaya pada 19 Julai 2019 yang lalu. Kehadiran kumpulan ini merupakan inisiatif Unit MySel, Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu golongan orang awam dari Pulau Ketam, Selangor yang mempunyai pelbagai urusan berkaitan pendaftaran, termasuk permohonan kad pengenalan serta kelahiran dan tidak terhad kepada permohonan kewarganegaraan sahaja. JPN dimaklumkan pelanggan-pelanggan tersebut terdiri daripada warga emas dan juga mereka yang mempunyai kesukaran untuk hadir sendiri ke Pejabat-pejabat JPN bagi urusan pendaftaran.

JPN ingin menegaskan bahawa permohonan kewarganegaraan Malaysia yang diterima oleh Jabatan ini bukan tertumpu kepada satu-satu kaum tertentu sahaja, malah menerima permohanan daripada pelbagai kaum dan bangsa di Malaysia. Permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan hanya diberikan kepada mereka yang layak sahaja dan perlu mengikuti syarat yang ditetapkan.

Namun perlu diingatkan bahawa penganugerahan kewarganegaraan adalah tertakluk kepada Peruntukan-peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan. Penganugerah taraf kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi oleh Kerajaan Malaysia kepada warga asing dan tidak diberikan sewenang-wenangnya.

SUMBER:

Facebook Rasmi Jabatan Pendaftaran Negara


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI