Kes Keracunan Makanan Dan Kematian Ekoran Memakan Laksa Di Kupang, Baling, Kedah?

TULAR:
2075

PENJELASAN:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperjelaskan laporan berhubung kes keracunan makanan, dan membawa kepada kematian selepas memakan laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling, Kedah.

Sumber gambar: Facebook

Menurut kenyataan rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Kedah:

Susulan daripada maklumat yang tular di media sosial baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa, pada 6 Oktober 2018, malam, satu notifikasi dari Hospital Gerik telah diterima mengenai dua (2) kes keracunan makanan dengan satu (1) kematian. Siasatan lanjut mendapati tujuh (7) kes dari satu keluarga yang tinggal di rumah yang sama terlibat, dengan gejala demam, cirit birit, dan muntah. Mereka dilaporkan telah memakan laksa pada 4 Oktober 2018 jam 9.30 malam yang dibeli oleh bapa simati di sebuah gerai di Kupang, Baling, Kedah pada 4 Oktober 2018 dalam jam 5.30 petang.

Pada 7 Oktober 2018, dua (2) kes lagi telah dimasukkan ke Hospital Gerik kerana gejala keracunan makanan setelah memakan laksa yang dibeli pada 4 Oktober 2018 di gerai yang sama. Satu (1) dari dua (2) kes tersebut telah dirujuk ke Hospital Permaisuri Bainon Ipoh untuk rawatan lanjut. Namun begitu, pesakit telah disahkan meninggal dunia pada 7 Oktober 2018 jam 2.31 petang.

Selain dari itu, sepuluh (10) kes keracunan makanan berkaitan dengan laksa yang dibeli di kedai yang sama di Kupang, Baling, Kedah turut dilaporkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling dan mendapat rawatan di Hospital Baling, Kedah.

Tiada kes baru dikesan sejak 9 Oktober 2018 dan jumlah keseluruhan kes kekal 83 kes termasuk dua (2) kematian; dengan pecahan 34 kes di Perak [termasuk dua (2) kes kematian], 25 kes di Kedah dan 24 kes di Selangor. Semua kes yang dirawat di hospital telah didiscaj.

Berdasarkan hasil siasatan dan keputusan makmal yang lengkap diperolehi pada 21 Oktober 2018 (Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh dan Makmal Keselamatan Kualiti Makanan Pulau Pinang), agen penyebab keracunan makanan ini adalah Salmonella enterica serovar WeltevredenBakteria ini telah dikesan dalam sampel klinikal pesakit dan sampel mi laksa yang terlibat. Untuk makluman, dengan menggunakan kaedah ujian Pulse Field Gel Electrophoresis (PFGE), didapati bakteria tersebut berpunca dari satu sumber iaitu mi laksa yang dibeli pada 4 Oktober 2018 dari gerai terbabit. Mi laksa yang dijual pada 4 Oktober tersebut dihasilkan di premis pemprosesan mi laksa, milik pengusaha yang juga tuan punya gerai tersebut. Faktor risiko yang menyumbang kepada kejadian keracunan makanan ini berkemungkinan berpunca dari proses penyediaan dan penyimpanan mi laksa yang tidak bersih, serta suhu penyediaan mi laksa semasa pemprosesan dan suhu pemanasan semula mi laksa sebelum dimakan tidak mencukupi untuk menyahkuman. Pada 21 Oktober 2018 petang, tuan punya gerai menjual mi laksa yang terlibat telah dimaklumkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Baling berkaitan hasil siasatan yang dijalankan.

Gerai menjual laksa yang terlibat telah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit 1988 sejak 8 Oktober 2018. Tuan punya gerai harus mengambil langkah-langkah pembaikan segera dengan memastikan semua keperluan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan keperluan Pihak Berkuasa Tempatan dipatuhi sepenuhnya. Tuan punya gerai terbabit juga telah dimaklumkan sekiranya semua keperluan ini dipatuhi maka premis ini boleh dibuka semula.

SUMBER:

Facebook Rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Kedah

Facebook Rasmi KKM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI