Kesiapsiagaan KKM Dalam Menghadapi Potensi Penularan Novel Coronavirus Dari Wuhan, China

TULAR:
1065

PENJELASAN:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperincikan langkah-langkah kesiapsiagaan yang telah dan akan terus dilaksanakan bagi menghadapi potensi penularan penyakit novel coronavirus yang dilaporkan di Wuhan, China.

Sumber gambar: hippocrates.media

Menurut kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):

Berdasarkan kepada pemantauan yang dijalankan, buat masa ini, tiada kes yang disyaki novel coronavirus dilaporkan. Antara langkah-langkah kesiapsiagaan yang telah dan terus dilaksanakan bagi menghadapi potensi penularan penyakit ini adalah:

  1. Anggota KKM di semua peringkat termasuk Pintu Masuk Antarabangsa Negara dimaklumkan berkaitan kejadian kluster ini dan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi;
  2. Memberi penekanan dan memperkukuhkan aktiviti saringan demam sedia ada dalam kalangan pengembara oleh anggota-anggota yang bertugas di Pintu Masuk Antarabangsa Negara;
  3. Pengembara yang dikesan mengalami demam dan bergejala, pemeriksaan akan dilakukan semula di pusat kuarantin kesihatan atau tempat pemeriksaan yang terletak di Pintu Masuk Antarabangsa Negara;
  4. Saringan pesakit di Klinik Kesihatan dan Jabatan Kecemasan hospital diperkukuhkan bagi memastikan kes-kes yang disyaki akan dirujuk dan dikendalikan dengan mematuhi langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi;
  5. Seseorang yang mengalami gejala penyakit respiratori akut dalam tempoh 14 hari selepas pulang dari Wuhan, China, dinasihatkan agar pergi ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk menjalani pemeriksaan;
  6. Sekiranya terdapat kes disyaki yang dikesan dari mana-mana fasiliti kesihatan, kes perlu dilaporkan / dinotifikasi dengan segera kepada pihak Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri dan Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) KKM;
  7. Memperkukuhkan keupayaan bagi menjalankan ujian pengesanan dan pengesahan novel coronavirus. Untuk makluman, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) merupakan makmal sedia ada yang berkeupayaan untuk menjalankan ujian tersebut;
  8. Anggota KKM dinasihatkan untuk menggunakan personal protective equipment (PPE) dan simpanan stok (stockpile) bagi PPE serta ubat-ubatan bagi menghadapi wabak perlu dipastikan mencukupi untuk menampung keperluan di fasilti kesihatan masing-masing; dan
  9. KKM akan sentiasa bekerjasama rapat dengan semua agensi yang berkaitan secara berterusan bagi memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan respons KKM bagi menghadapi potensi penularan jangkitan dalam Malaysia.

Sehubungan itu berdasarkan maklumat di atas, KKM ingin menegaskan bahawa situasi jangkitan influenza yang dilaporkan di Malaysia sekarang ini tiada kaitan dengan kejadian novel coronavirus di Wuhan, China dan situasi influenza adalah terkawal.

SUMBER:

Laman Rasmi KP Kesihatan


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI