Makluman Berkenaan Pelaksanaan Latihan Ketenteraan

TULAR:
12

Menurut kenytaan Majlis Keselamatan Negara (MKN):

1. Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan pada 25 Mei 2026 menyokong komitmen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung pelaksanaan aktiviti ketenteraan untuk memastikan setiap latihan dan operasi ketenteraan dilaksanakan secara profesional, terancang serta mematuhi segala garis panduan, prosedur operasi dan ketetapan pihak berkuasa berkaitan termasuk aspek keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar.

2. Pelaksanaan latihan ketenteraan adalah tertakluk kepada prosedur kelulusan yang ketat serta penyelarasan bersama kementerian dan agensi berkaitan. Bagi kawasan latihan yang diwartakan mahupun tidak diwartakan, setiap permohonan perlu melalui proses kelulusan serta pengesahan oleh pihak berkuasa berkaitan termasuk Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar/Ketua Menteri serta agensi teknikal. Permohonan juga perlu dikemukakan dalam tempoh yang ditetapkan sebelum sesuatu latihan dilaksanakan bagi memastikan aspek keselamatan, pematuhan prosedur dan sensitiviti setempat sentiasa diberi perhatian sebelum dimaklumkan kepada pemilik kawasan.

3. Semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pelaksanaan latihan ketenteraan akan terus diperkemas dari semasa ke semasa. Selain itu, penilaian pasca-latihan turut akan dilaksanakan bagi meneliti semula keberkesanan pelaksanaan, mengesahkan sebarang impak yang berlaku serta memastikan peruntukan dan tanggungjawab berkaitan kerja-kerja pembaikan terhadap sebarang kerosakan ditetapkan dengan sewajarnya.

4. Sidang MKN berpandangan bahawa kesiapsiagaan pertahanan merupakan elemen penting dalam memastikan kedaulatan, keselamatan serta kepentingan strategik negara sentiasa terpelihara. Pada masa yang sama, aspek keseimbangan antara keperluan operasi pertahanan dan sensitiviti setempat perlu terus diberi perhatian melalui pendekatan libat urus dan penyelarasan yang berterusan bersama semua pihak berkepentingan.

5. Sehubungan itu, latihan ketenteraan dilaksanakan dengan kerjasama rapat antara ATM, Kerajaan Negeri serta agensi-agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan aktiviti ketenteraan dapat dilaksanakan secara tersusun, selamat dan berhemah selaras dengan kepentingan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.

SUMBER:

Facebook Rasmi MKN


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI