
Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA):
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan sebanyak 640 slot penajaan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 bagi melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi dalam dan luar negara melalui beberapa program penajaan utama.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk melahirkan modal insan berprestasi tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global.
Melalui program penajaan yang ditawarkan, pelajar cemerlang berpeluang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang strategik dan kritikal yang diperlukan negara, termasuk sains sosial, teknologi serta bidang profesional lain yang menyokong agenda pembangunan nasional.
Bagi tahun 2026, JPA menawarkan penajaan menerusi empat program utama iaitu:
- Program Penajaan Nasional (PPN) – 30 slot;
- Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara (LSPM) – 200 slot;
- Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ) – 140 slot; dan
- Program Khas JPA-MARA (PKJM) – 270 slot.
Menerusi program-program ini, pelajar berpeluang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan terkemuka di dalam dan luar negara termasuk di Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Korea, Perancis, Jerman, United Kingdom dan New Zealand, selaras dengan bidang pengajian yang ditawarkan.
Menurut JPA, penawaran penajaan ini bertujuan memastikan pelajar cemerlang negara terus mendapat akses kepada pendidikan berkualiti di institusi pengajian tinggi terpilih. Pada masa yang sama, ia merupakan usaha berterusan kerajaan untuk membangunkan bakat negara yang memiliki daya saing, kemahiran kritikal serta kepakaran dalam bidang strategik.
Calon yang telah mengemukakan permohonan boleh membuat semakan keputusan secara dalam talian bermula 19 Jun 2026. Bagi calon yang berjaya menerima tawaran, urusan penerimaan penajaan perlu diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan melalui sistem yang disediakan oleh JPA.
Pelaksanaan Program Penajaan Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBUA) yang diperkenalkan pada tahun 2025 turut mencerminkan komitmen JPA dalam mengiktiraf kecemerlangan akademik serta mendorong penerima penajaan untuk terus mencapai prestasi terbaik sepanjang tempoh pengajian.
JPA berharap penajaan yang disediakan dapat melahirkan generasi profesional dan pemimpin masa depan yang berilmu, berintegriti serta mampu menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan negara.
SUMBER:






