Makluman: Keselamatan Siber Menjadi Tumpuan Majlis Pelancaran Bulan Keselamatan Negara

TULAR:
6

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN):

Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (MKN JPM) hari ini menganjurkan Bulan Keselamatan Negara (BKN) Tahun 2026. Majlis disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. BKN disambut pada setiap bulan Julai sejak diwartakan bersempena dengan penubuhan MKN pada 7 Julai 1971. Ini merupakan satu lagi platform bagi meningkatkan kesedaran dan keprihatinan rakyat terhadap kepentingan keselamatan negara.


Mengambil kira hubungan rapat antara keselamatan siber dan keselamatan negara, MKN JPM pada kali ini telah menggabungkan Majlis Pelancaran Bulan Keselamatan Negara dengan National Cyber Security Summit (NCSS) 2026. Oleh itu, YAB Perdana Menteri turut merasmikan National Cyber Security Summit (NCSS) 2026, Dasar Kriptografi Negara (MyKriptografi), Pelan Tindakan MyKriptografi 2026–2030, serta Kerangka Keselamatan Siber bagi Sistem Kecerdasan Buatan (AI Systems Cybersecurity Framework – AISCF).


National Cyber Security Summit (NCSS) 2026 dianjurkan pada 7 hingga 9 Julai 2026 dengan tema “Strengthening Sovereign Resilience” di PICC Putrajaya. NCSS 2026 adalah kesinambungan kepada usaha memperkukuhkan daya tahan dan kedaulatan siber negara, menghimpunkan anggaran lebih 6,000 peserta, 100 pempamer dan penaja, lebih 500 tetamu kenamaan antarabangsa, 50 penceramah serta 70 sesi persidangan dan forum. NCSS 2026 juga menjadi platform yang menghimpunkan pakar keselamatan siber, penggubal dasar, pihak industri, akademik dan pemain sektor berkepentingan bagi membincangkan isu-isu keselamatan siber semasa serta merangka pendekatan dan penyelesaian inovatif dalam melindungi maklumat kritikal negara.


Bagi memperkukuhkan ekosistem keselamatan siber negara, Kerajaan melalui NACSA turut melancarkan Dasar Kriptografi Negara (MyKriptografi) sebagai dasar nasional yang menjadi hala tuju pembangunan, penggunaan dan pengukuhan keupayaan kriptografi negara yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 28 November 2025. Kesinambungan daripada itu, Pelan Tindakan MyKriptografi 2026–2030 disediakan bagi menyokong usaha pelaksanaan dasar secara menyeluruh melalui strategi, inisiatif dan tindakan yang tersusun dalam tempoh pelaksanaannya.


Selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju dalam pembangunan dan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) yang selamat dan berdaya tahan, Kerajaan turut memperkenalkan Kerangka Keselamatan Siber bagi Sistem Kecerdasan Buatan (AI Systems Cybersecurity Framework – AISCF). Dibangunkan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), AISCF menyediakan panduan kepada organisasi sektor awam dan swasta untuk membangun, memperoleh, melaksanakan, mengendalikan serta menamatkan sistem AI secara selamat dan bertanggungjawab. Berasaskan pendekatan pengurusan risiko serta sejajar dengan piawaian antarabangsa, kerangka ini membantu organisasi memperkukuh keselamatan siber, tadbir urus dan daya tahan sistem AI bagi meningkatkan keyakinan terhadap penggunaan AI yang selamat dan boleh dipercayai.


Sebagai usaha memperkukuhkan kerjasama strategik, YAB Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara:
1. NACSA dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi Co-Operation in the Field of Cybersecurity yang telah ditandatangani pada 2 Mac 2026; dan
2. NACSA dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta IBM (Malaysia) Sdn. Bhd. dalam pembangunan bakat, pemindahan teknologi, penyelidikan dan peningkatan kompetensi modal insan keselamatan siber negara yang telah ditandatangani pada 3 Julai 2026.

SUMBER:

Facebook Rasmi MKN

Instagram Rasmi MKN

X Rasmi MKN


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI