
Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS):
Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar pada jam 9.00 pagi ini menunjukkan dua (2) kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, empat puluh empat (44) kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana, empat belas (14) kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, tiga (3) kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat, dan empat (4) kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap berbahaya pada hari ini, iaitu:
BERBAHAYA
1. IPD Serian, SARAWAK (IPU – 475)
2. Samarahan, SARAWAK (IPU – 334)
3. Sri Aman, SARAWAK (IPU-330)
4. Kuching, SARAWAK (IPU – 324)
SANGAT TIDAK SIHAT
1. Sarikei, SARAWAK (IPU-271)
2. Sibu, SARAWAK (IPU-219)
3. Mukah, SARAWAK (IPU-214)
TIDAK SIHAT
1. Samalaju, SARAWAK (IPU-180)
2. Miri, SARAWAK (IPU-171)
3. ILP Miri, SARAWAK (IPU-169)
4. Kapit, SARAWAK (IPU-164)
5. Bintulu, SARAWAK (IPU – 161)
6. Limbang, SARAWAK (IPU – 159)
7. Sungai Petani, KEDAH (IPU – 157)
8. Labuan, W.P. LABUAN (IPU – 157)
9. Seberang Jaya, PULAU PINANG (IPU-156)
10. Seberang Perai, PULAU PINANG (IPU-155)
11. Minden, PULAU PINANG (IPU-153)
12. Tawau, SABAH (IPU-153)
13. Taiping, PERAK (IPU-150)
14. Politeknik Kota Kinabalu, SABAH (IPU-111)
Kualiti udara dalam negara pada hari ini didapati merosot dengan beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, sangat tidak sihat, dan berbahaya yang dipengaruhi oleh pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.
Berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 30 Ogos 2026, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, terdapat 324 titik panas (hotspot) dikesan di Kalimantan, 42 titik panas (hotspot) dikesan di Sumatera dan 2 titik panas (hotspot) dikesan di dalam negara iaitu 1 di Perak dan 1 di Sarawak.
Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 30 Ogos 2026 menunjukkan keadaan cuaca kering berlaku di kebanyakan kawasan di rantau ASEAN selatan, kecuali di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia yang menerima hujan. Titik panas bertaburan hingga meluas dikesan di Kalimantan dan Sumatera, manakala beberapa titik panas dikesan di kawasan lain di rantau ASEAN selatan.
Kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal diperhatikan meliputi Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah serta Brunei dan bahagian barat dan tengah Sarawak. Kepulan asap rentas sempadan sederhana turut diperhatikan berpunca daripada kelompok titik panas di Kalimantan Utara dan bergerak memasuki bahagian selatan Sabah. Kepulan asap sederhana hingga tebal turut diperhatikan berpunca daripada kelompok titik panas di kebanyakan kawasan di Kalimantan serta bahagian tengah dan selatan Sumatera.
Banyak stesen pemantauan kualiti udara di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah, bahagian tengah dan selatan Sumatera, bahagian barat Semenanjung Malaysia serta Sarawak merekodkan bacaan pada tahap Tidak Sihat hingga Berbahaya. Keadaan keseluruhan titik panas dan jerebu di rantau ini tidak dapat ditentukan sepenuhnya berikutan litupan awan.
Susulan peningkatan aktiviti titik panas (hotspot) serta keadaan jerebu yang semakin meluas di Rantau Selatan ASEAN, dan berdasarkan hasil pemantauan, penilaian serta ramalan ASMC, Sekretariat ASEAN telah mengaktifkan Tahap Amaran 3 bagi Rantau Selatan ASEAN berkuat kuasa mulai 27 Ogos 2026, selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) MAJER ASEAN.
PELAN TINDAKAN JEREBU KEBANGSAAN (PTJK)
JAS melalui Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan sentiasa memantau kualiti udara dari semasa ke semasa dan tindakan yang akan diambil adalah selaras dengan PTJK yang melibatkan kesemua agensi-agensi berkaitan. Antara tindakan yang perlu dilaksanakan oleh agensi adalah:
(i) NADMA akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah/negeri/pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam;
(ii) menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah apabila bacaan IPU melebihi 100;
(iii) Sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200. Bagi tujuan ini, pihak sekolah, tadika dan taska dikehendaki sentiasa memantau bacaan IPU. Sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan ke arah 200 persediaan perlu dilaksanakan untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang berkenaan; dan
(iv) Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilakukan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai pada bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam.
Sehubungan itu, JAS bersama Kementerian dan setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu akan sentiasa bertindak dengan lebih cepat dan responsif di atas tindakan-tindakan seperti yang disenaraikan di dalam PTJK.
TINDAKAN JAS BERDASARKAN PELAN TINDAKAN JEREBU KEBANGSAAN DAN ARAHAN NADMA NO.1 DASAR DAN MEKANISME PENGURUSAN BENCANA NEGARA
Bagi memastikan tindakan yang cepat, teratur dan berkesan dapat dilaksanakan, JAS meneruskan pemantauan berterusan terhadap keadaan kualiti udara di seluruh negara, termasuk bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), kejadian titik panas (hotspot), keadaan cuaca serta perkembangan jerebu. Maklumat tersebut digunakan sebagai input penting dalam penilaian situasi semasa serta penyelarasan tindakan bersama kementerian, agensi dan pihak berkepentingan yang terlibat dalam. pengurusan bencana jerebu.
Dalam perkembangan semasa, JAS Negeri Sarawak terus melaksanakan rondaan, Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT), pemantauan dan tindakan penguatkuasaan seperti biasa, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko berlaku pembakaran terbuka. Walau bagaimanapun, mengambil kira keadaan kualiti udara semasa dengan bacaan IPU di beberapa stesen pemantauan menghampiri paras 300, aspek keselamatan dan kesihatan anggota yang menjalankan tugasan di lapangan turut diberikan perhatian sewajarnya. Pendekatan ini memastikan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan dapat diteruskan secara berterusan di samping langkah-langkah keselamatan yang bersesuaian dilaksanakan mengikut keadaan dan risiko semasa. Pihak industri perlu memastikan pelepasan udara dari punca utama dikurangkan bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 300.
Di peringkat lapangan, JAS memperkukuhkan tindakan untuk:
Meneruskan pelaksanaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) serta melaksanakan rondaan secara berkala atau harian mengikut keperluan dan tahap risiko semasa;
ii. Mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di kawasan yang dikenal pasti berisiko berlaku pembakaran terbuka, termasuk kawasan hutan, tanah gambut, tapak pelupusan sampah, kawasan pertanian dan perladangan, kawasan industri serta lokasi-lokasi lain yang berpotensi menjadi punca pembakaran terbuka;
iii. Mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas dan segera terhadap sebarang aktiviti pembakaran terbuka atau sumber pencemaran yang dikenal pasti, selaras dengan peruntukan undang-undang serta bidang kuasa JAS;
iv. Meneruskan pemantauan terhadap keadaan kualiti udara, titik panas (hotspot), keadaan meteorologi dan perkembangan jerebu rentas sempadan sebagai input kepada penilaian situasi dan penyelarasan tindakan pengurusan bencana di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan;
V. Memastikan maklumat berkaitan perkembangan situasi, tindakan pemantauan, rondaan, OMPT dan penguatkuasaan dikemukakan secara berkala mengikut mekanisme pelaporan yang telah ditetapkan bagi membolehkan pemantauan berterusan, penilaian perkembangan semasa serta penyelarasan tindakan di peringkat kebangsaan;
vi. Memperkukuh kerjasama dan penyelarasan dengan kementerian, agensi teknikal, pihak berkuasa negeri dan agensi berkaitan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan pengurusan situasi jerebu mengikut peranan serta bidang kuasa masing-masing; dan
vii. Memastikan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan terhadap punca pembakaran terbuka tempatan dilaksanakan secara berterusan bagi mengelakkan keadaan jerebu menjadi lebih buruk dan seterusnya menambah tekanan terhadap kualiti udara dalam negara.
JAS juga akan terus melaksanakan pemantauan dan penilaian terhadap perkembangan situasi semasa serta mengambil tindakan yang bersesuaian selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan. Pelaksanaan tindakan di bawah pelan tersebut melibatkan penyelarasan bersama agensi-agensi berkaitan dalam pengurusan bencana jerebu berdasarkan tahap dan perkembangan semasa kualiti udara.
NASIHAT KEPADA ORANG RAMΑΙ
Bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat url, https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyJAS EQMS di ‘Google Play’ atau ‘App Store’;
Orang ramai dinasihatkan melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia (www.moh.gov.my) bagi mendapatkan nasihat kesihatan dan langkah-langkah pencegahan semasa jerebu;
Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja. Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, kadar denda telah dinaikkan kepada minimum RM25,000 dan maksimum RM1,000,000, atau penjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya. Di samping itu, kompaun sehingga tidak melebihi 50% denda maksimum boleh dikenakan atas setiap kesalahan; dan
SUMBER:






