
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF):
Kerajaan telah memperkenalkan penambahbaikan penyaluran subsidi BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi pemandu e-hailing dan teksi lapangan terbang.
Penambahbaikan ini merupakan hasil perbincangan antara Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta syarikat pengendali e-hailing (EHO), dalam usaha memastikan pelaksanaan subsidi bersasar lebih saksama dan terangkum demi memelihara mata pencarian pemandu e-hailing dan teksi lapangan terbang.
Skim berperingkat untuk pemandu e-hailing
Bagi pemandu e-hailing, Kerajaan telah memperkenalkan skim kelayakan berperingkat BUDI95 yang akan diaktifkan pada pertengahan setiap bulan. Tahap peningkatan siling kelayakan bulanan BUDI95 bergantung kepada jarak perjalanan e-hailing yang direkodkan dalam sistem EHO bagi bulan sebelumnya, seperti berikut:

Dalam hal ini, jarak perjalanan seseorang pemandu e-hailing akan dikira berdasarkan jumlah data jarak yang direkodkan oleh semua EHO, dan urusan ini akan dikendalikan oleh APAD dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di Sabah dan Sarawak.
EHO bertanggungjawab mengemukakan rekod perjalanan bulanan pemandu e-hailing secara tepat, sahih dan lengkap kepada APAD serta LPKP Sabah dan Sarawak pada setiap awal bulan.
Nilai ambang jarak perjalanan baharu ditetapkan berdasarkan kajian MOF terhadap data jarak perjalanan e-hailing yang dikemukakan oleh EHO serta data penggunaan BUDI95 sebenar oleh pemandu e-hailing pada September 2025.
Penurunan nilai ambang kelayakan asal dari 3,000 km ke 2,000 km serta pengenalan peringkat baharu melebihi 5,000 km dibuat setelah mengambil kira pergerakan tanpa penumpang yang tidak direkodkan dalam aplikasi EHO. Langkah ini memastikan jumlah kelayakan BUDI95 bagi setiap peringkat adalah mencukupi untuk menampung jarak perjalanan harian untuk kebanyakan pemandu e-hailing.
Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan dan penggunaan pemandu e-hailing bagi memastikan mekanisme yang terbaik bagi semua pihak dalam jangka masa panjang.
Pelaksanaan untuk pemandu teksi lapangan terbang
Sementara itu, syarikat pengendali teksi lapangan terbang kini boleh memohon fleet card di bawah SKPS kendalian KPDN, selaras dengan pelaksanaan sedia ada bagi kategori teksi dan kereta sewa yang layak menerima sehingga 800 liter RON95 bersubsidi setiap bulan.
Namun demikian, limousin yang beroperasi di lapangan terbang dan tidak dikawal selia kadar tambangnya oleh APAD tidak layak untuk memohon fleet card di bawah SKPS.
Kerajaan kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini dilaksanakan secara telus, berkesan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat. MOF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
SUMBER:
Facebook Rasmi MOF






