Penjelasan Berhubung 80 Murid Sekolah Rendah Islam al-Afsari yang Tidak Dapat Menduduki UPKK Tahun 2025

TULAR:
71

Menurut kenyataan media Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM):

JAKIM mengambil perhatian serius terhadap laporan melibatkan seramai 80 orang murid dari Sekolah Rendah Islam al-Afsari, Saujana Putra, Puchong, Selangor yang tidak dapat menduduki Ujian Penilaian al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) Tahun 2025.

Hasil semakan mendapati murid-murid yang terlibat tidak didaftarkan sebagai calon UPKK Tahun 2025 melalui sistem rasmi pendaftaran calon, iaitu Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI). Susulan itu, JAKIM telah mengadakan semakan silang dan perbincangan bersama Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) selaku agensi pelaksana KAFA di peringkat negeri.

Pihak JAIS telah mengesahkan bahawa Sekolah Rendah Islam al-Afsari belum berdaftar di bawah JAIS serta beroperasi tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT). Keadaan ini menyebabkan sekolah tersebut tidak memenuhi kriteria pendaftaran sekolah agama Islam swasta di Negeri Selangor sebagaimana diperuntukkan di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988.

JAKIM telah mengadakan pertemuan rasmi dengan pihak sekolah pada 3 November 2025. Dalam pertemuan tersebut, JAKIM menjelaskan bahawa:

i. Peperiksaan UPKK dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) peperiksaan peringkat kebangsaan yang ditetapkan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1942, bagi menjamin kerahsiaan dan integriti peperiksaan;

ii. Semua calon UPKK Tahun 2025 telah didaftarkan dan diberikan nombor giliran melalui SIMPENI sebelum pelaksanaan ujian lisan;

iii. Ujian Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) telah selesai dilaksanakan antara 7 April hingga 12 September 2025, manakala ujian lisan al-Quran (UPKK01) telah dijalankan antara 22 September hingga 17 Oktober 2025. Markah bagi kedua-dua komponen ini telah dikumpulkan di peringkat daerah oleh Setiausaha Peperiksaan (SuP);dan

iv. Ujian bertulis UPKK dijadualkan berlangsung pada 17 hingga 20 November 2025, dan semua kertas peperiksaan telah diedarkan ke seluruh negeri berdasarkan bilangan calon serta pusat peperiksaan yang berdaftar.

SUMBER:

Facebook Rasmi JAKIM

Instagram Rasmi JAKIM

X Rasmi JAKIM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI