Makluman: Pengurusan Sumber Manusia Sektor Kesihatan Dan Program Latihan Kepakaran Pegawai Perubatan

TULAR:
7

Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA):

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertanggungjawab memastikan pengurusan sumber manusia sektor awam, termasuk pembangunan kompetensi dan latihan pegawai, dilaksanakan secara profesional, adil, telus dan konsisten selaras dengan dasar serta peraturan yang berkuat kuasa.

Sejak tahun 1993, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah diperuntukkan perjawatan secara pukal serta diberikan autonomi untuk mengagihkan jawatan ke hospital dan fasiliti kesihatan mengikut keperluan operasi serta penyampaian perkhidmatan.

Sejak tahun 2019 hingga 2025, JPA telah memperakukan pewujudan sebanyak 53,516 jawatan baharu tanpa tukar ganti (trade-off) bagi menyokong pengoperasian fasiliti kesihatan baharu, projek naik taraf fasiliti sedia ada serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. Langkah ini melibatkan implikasi kewangan Kerajaan sebanyak RM4.5 bilion.

Selain itu, Kerajaan turut meluluskan pewujudan 12,796 jawatan tetap bagi tiga skim utama KKM iaitu Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi mulai tahun 2022 sehingga 30 Jun 2026 dengan implikasi kewangan sebanyak RM2.2 bilion.

JPA tidak hanya tertumpu kepada tiga skim perkhidmatan tersebut. Setiap permohonan daripada KKM turut mengambil kira keperluan 83 skim perkhidmatan lain yang sama penting dalam memastikan keseluruhan ekosistem kesihatan negara terus berfungsi secara menyeluruh dan berkesan.

JPA telah memperakukan pewujudan 66,312 jawatan baharu tanpa tukar ganti kepada KKM dengan implikasi kewangan berjumlah RM6.7 bilion.

JPA bersama Kementerian Kewangan sedang meneliti permohonan pewujudan 13,000 jawatan baharu tanpa tukar ganti bagi menyokong pengoperasian 256 fasiliti kesihatan baharu dan yang dinaik taraf, dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM1.25 billion.

Cabaran kini tertumpu kepada aspek pengagihan, penempatan dan penggunaan sumber manusia secara optimum supaya setiap hospital dan fasiliti kesihatan mempunyai kapasiti yang diperlukan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Berdasarkan rekod semasa, proses penempatan semula Pegawai Perubatan selepas menamatkan latihan kepakaran mengambil masa antara tiga (3) hingga dua belas (12) bulan sebelum mereka dapat diagihkan ke fasiliti kesihatan.

Kadar Graduate On Time (GOT) bagi Pegawai Perubatan yang mengikuti latihan kepakaran kini adalah sekitar 46 peratus. Ini bermaksud, daripada setiap 100 Pegawai Perubatan yang mengikuti latihan kepakaran, secara purata hanya 46 orang berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan.

Bagi memberi peluang kepada lebih ramai Pegawai Perubatan mengikuti latihan kepakaran, KKM melalui surat bertarikh 8 Jun 2026 telah memohon pertimbangan khas daripada JPA supaya penilaian prestasi sepanjang tempoh Supervised Work Experience (SWE) boleh digunakan sebagai tambahan kepada keperluan dua tahun Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) selepas pewartaan.

JPA telah memberikan pertimbangan khas dengan membenarkan penilaian prestasi sepanjang tempoh SWE digunakan sebagai tambahan kepada dua tahun LNPT.

Pertimbangan tersebut juga tidak tertakluk kepada syarat genap 12 bulan kalendar sebagaimana yang diperuntukkan dalam Ceraian SR.5.1.8 Kemudahan Cuti Belajar dan Biasiswa Dalam Perkhidmatan.

Pertimbangan khas ini telah membolehkan 35 Pegawai Perubatan tambahan ditawarkan mengikuti Program Latihan Kepakaran Lanjutan, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan penerima tawaran daripada 307 kepada 342 orang.

Seterusnya, melalui surat bertarikh 26 Jun 2026, KKM sekali lagi mengemukakan permohonan supaya markah LNPT tahun 2025 digunakan bagi melengkapkan keperluan tiga tahun LNPT. Setelah penelitian dibuat, JPA memutuskan supaya pertimbangan terdahulu dikekalkan bagi sesi pengajian 2026/2027. Pada masa yang sama, KKM turut disyorkan membawa baki 58 slot latihan yang tidak dapat diisi kepada sesi penawaran tahun hadapan.

JPA akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memperkukuh pembangunan sumber manusia sektor kesihatan melalui pewujudan perjawatan, pengurusan latihan kepakaran serta penambahbaikan tadbir urus yang berterusan demi memastikan sistem kesihatan awam negara kekal mampan dan berdaya saing.

SUMBER:

Facebook Rasmi JPA


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI