
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF):
Kerajaan akur bahawa di sebalik angka pertumbuhan yang memberangsangkan, ramai rakyat serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masih berdepan kesulitan tatkala tempias krisis global turut dirasai di tanah air. Hatta, sejak tercetusnya krisis Asia Barat, Kerajaan telah bertungkus-lumus menggerakkan pelbagai ikhtiar bagi meringankan beban rakyat, menjamin bekalan barangan penting dan memastikan kelangsungan perniagaan,” tambah beliau.
Sejak April 2026, Kerajaan telah menggerakkan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) untuk bekerjasama dengan pihak industri bagi mengenal pasti bekalan kritikal serta mendapatkan sumber alternatif. Usaha ini membantu mengekalkan ketersediaan bekalan dan meredakan tekanan harga meskipun rantaian bekalan global terus terganggu.
Selain itu, Kerajaan telah menyediakan sokongan pembiayaan melebihi RM15 bilion kepada sektor PMKS serta usahawan mikro bagi membantu menampung tekanan kos dan memastikan kelangsungan operasi. Sokongan ini merangkumi kemudahan pembiayaan oleh Bank Negara Malaysia, jaminan pembiayaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan serta pembiayaan mikro melalui agensi dan institusi kewangan pembangunan.
Sungguhpun Malaysia turut terkesan oleh krisis bekalan global, kadar inflasi negara kekal terkawal pada 1.9% pada suku kedua 2026.
Kerajaan turut mengekalkan harga RON95 bersubsidi di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter, selain memperkenalkan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pada RM2.10 seliter kepada golongan yang layak bagi meringankan beban rakyat serta memastikan kelangsungan operasi perniagaan dan pengangkutan.
“Tiada siapa mampu meramal seluruh gelora yang bakal mendatang. Namun, amanah Kerajaan adalah jelas, iaitu melindungi kesejahteraan rakyat, memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pada masa sama memelihara tanggungjawab fiskal negara,” kata YAB Dato’ Seri Anwar.
“Kerajaan akan terus menimbang setiap ikhtiar dengan cermat agar tiada kelompok yang tercicir, perniagaan dapat terus beroperasi dan daya tahan negara terus diperkukuh,” tambah beliau.
DOSM akan menerbitkan KDNK preliminari bagi suku kedua 2026 pada 14 Ogos 2026. Angka yang diumumkan hari ini merupakan anggaran awalan dan tertakluk kepada semakan apabila data yang lebih komprehensif tersedia.
SUMBER:






